Usia bukan penghalang

BIAR umur lebih separuh abad, Nor Zehan Abd Murad tetap setia dengan kariernya sebagai jurugambar profesional sejak lebih 30 tahun lalu.

Baginya, beban memikul kamera dan peralatan bukanlah satu masalah besar.

“Semuanya saya lakukan atas dasar minat yang mendalam sejak di bangku sekolah lagi.



“Lagipun, saya juga mendapat sepenuh galakan daripada arwah bapa,” katanya kepada Sinar Harian.

Kini, wanita berusia 55 tahun ini berkhidmat sebagai jurugambar di Tenaga Nasional Berhad (TNB), sejak 2003.

Tugas hakikinya itu memerlukannya membuat semua liputan rasmi berkaitan aktiviti dan program TNB.

“Kadang-kala, saya terpaksa bertugas hingga lewat malam dan memandu sendirian terutama ketika bertugas di luar kawasan.

“Kerja... memang penat tapi ia berakhir dengan rasa gembira. Itu yang buat saya tak kisah. Lagipun, kerja kenalah happy,” katanya.

Lebih menarik, anak jati Kuala Lumpur ini juga merupakan satu-satunya jurugambar wanita di TNB, sekali gus membuktikan wanita juga setanding dengan lelaki.

“Walau hanya saya wanita, saya lihat ia dari sudut positif.

“Asalkan, kita sesama jurugambar boleh bekerjasama, saya tiada masalah.

“Saya tak kisah pun orang nak kata apa kerana apa yang saya buat ini hanyalah kerana ALLAH. Alhamdulillah, ALLAH SWT juga memberi rezeki kesihatan yang baik kepada saya,” katanya.

Pada masa sama, Nor Zehan turut menjadi tempat rujukan bagi sesiapa yang berminat untuk mempelajari bidang fotografi.

“Saya akui agak sibuk tetapi saya juga sedia membantu.

“Biasanya, kaedah pembelajaran juga berlaku dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan kerana itulah kepuasan saya,” katanya yang turut aktif dengan pelbagai persatuan jurugambar di sekitar Lembah Klang.


Malah, Nor Zehan juga terus mempelajari dan berusaha mendapatkan ilmu mengenai fotografi melalui bahan pembacaan dan laman sesawang termasuk menghadiri pelbagai kursus, sehingga hari ini.

Buka studio fotografi
Mengimbas kembali pembabitan dalam bidang fotografi, Nor Zehan asalnya menimba pengalaman sebagai jurugambar di pelbagai syarikat media, sejak 1986 hingga 2002.

“Sebenarnya, pengalaman bertugas di pelbagai syarikat media banyak mengajar saya untuk menjalankan kerja-kerja tanpa mengira masa dan keadaan,” katanya.

Sebelum itu, anak kelapan daripada sembilan beradik ini merupakan lulusan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak Kuala Kubu Bharu.

”Saya belajar bidang fotografi selama setahun pada 1984.

“Apabila berpeluang belajar dalam bidang ini, ia bagaikan satu manfaat besar kerana itu adalah cita-cita saya.

“Saya kemudiannya bekerja secara latihan untuk mendapatkan pengalaman dengan Raja Harun Rezduan Foto,” katanya.

Melebarkan lagi sayap pekerjaan, Nor Zehan turut berhasrat membuka sebuah studio fotografi, Zeis Fotografi World di Batu Caves Centre Point, dalam masa terdekat.

Katanya, studio itu adalah hasil kerjasama dengan suaminya, Ishak Saad yang juga merupakan seorang jurugambar.

“Sebenarnya, suami saya dah terlalu lama meninggalkan bidang ini.

“Tapi, dia rasa terpanggil untuk menceburi bidang ini semula kerana seronok melihat semangat saya bekerja,” katanya.
Usia bukan penghalang Usia bukan penghalang Reviewed by Kakigosip on 04:54:00 Rating: 5
Powered by Blogger.