Berita Terkini
recent

Tipu timbangan durian, DBKL sita penjaja haram

Berat asal sebiji durian hanya dua kilogram namun apabila ditimbang, menjadi lebih tiga kilogram dek muslihat seorang peniaga haram.

Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dikesan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertindak menyita jualan peniaga berkenaan yang beroperasi di Taman Tun Dr.Ismail.

Situasi itu menjadi tular di Facebook sejak semalam apabila video rakaman selama 41 saat dikongsikan seorang pemilik akaun Facebook menyaksikan seorang anggota penguatkuasa DBKL menimbang sebiji durian menggunakan dua penimbang berbeza.

Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail, berkata, tindakan itu dibuat hasil aduan diterima DBKL bahawa terdapat penjaja durian menipu timbangan.

Menurutnya, anggota penguatkuasa ke lokasi dan mendapati penjaja berkenaan masih berasa di lokasi dan hanya menjual dengan membuka bonet kereta.

"Peniaga berkenaan beroperasi tanpa kebenaran jadi tindakan sita dibuat. Namun peniaga tersebut telah menghalang petugas- petugas untuk menyita buah durian dengan menyiku salah seorang anggota penguatkuasa.

"Peniaga yang beralamat dari Johor itu cuba mulakan pergaduhan tapi anggota dapat elakkan dan pertahankan dan akhirnya DBKL dapat sita.

"Namun laporan polis dibuat kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas,"katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.