Tiada rasa empati tanda masalah mental

EMPAT tahun lalu, seseorang melempar bingkai pintu gelongsor kaca dari tingkat 15 pangsapuri yang saya diami di Kerinchi, Kuala Lumpur.

Bingkai pintu itu jatuh menghempap bumbung kereta yang diletakkan di bawah pangsapuri, menyebabkan cermin depan kereta bersepai dan bumbung kereta kemik. Kereta itu diletakkan di sebelah pusat jagaan kanak-kanak, dan ketika itu jam 8 pagi. Pada waktu itu, kebiasaannya ibu bapa menghantar anak masing-masing termasuk bayi mereka ke pusat jagaan tersebut.

Nasib baiklah tiada sesiapa berada berhampiran kereta berkenaan pada masa kejadian, kerana seandainya berlaku kemalangan, mungkin mangsa tidak akan terselamat akibat dihempap objek seberat itu.

Namun, nasib tidak menyebelahi S Sathiwaran, 15. Dia meninggal dunia di tempat kejadian apabila sebuah kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas pangsapuri di Pantai Dalam menghempap kepalanya.

Lebih meruntun hati ibunya yang membesarkannya dengan sepenuh kasih sayang menyaksikan sendiri kejadian penuh tragis itu yang berlaku jam 8.30 malam, 15 Januari itu.

Persoalan yang pastinya bermain di fikiran orang ramai ialah bagaimana seseorang boleh membaling kerusi dari sebuah bangunan tanpa memikirkan pelbagai akibat serius yang boleh berlaku, termasuk pembunuhan akibat perbuatannya itu?

Terdapat banyak teori mengenai kejadian itu. Ada mengaitkan perbuatan itu dengan sikap malas dan menyamakannya dengan tabiat orang yang sering membuang sampah melalui tingkap.

Manakala, tabiat membuang sampah ke luar tingkap menunjukkan sifat mementingkan diri sendiri, didikan kurang baik dan sikap tidak menghargai alam sekitar, membuang barang berpotensi membunuh atau cederakan orang lain mencerminkan kecenderungan  lebih menakutkan dan sosiopatik.

Pasti ada juga yang tertanya-tanya apakah difikirkan pelaku sebelum bertindak melakukan perbuatan tidak berhati perut dan tidak bertimbang rasa itu.

Pelaku mungkin tidak dapat mengawal kemarahan atau mempunyai sejarah penyakit mental. Malangnya, kemungkinan yang lebih tinggi adalah pelaku tidak mempunyai rasa empati.

Perihal semakin berkurangnya rasa empati dalam kalangan rakyat Malaysia banyak menjadi pokok perbincangan dan perbualan harian, namun tidak dianggap serius untuk dapat perhatian sewajarnya.

Ketiadaan rasa empati boleh mengakibatkan ketidakmampuan untuk rasa menyesal atau memahami punca tindakan seseorang itu. Ini sebenarnya tanda gangguan serius, berpunca daripada faktor genetik, alam sekitar, trauma atau penyakit. Ia juga mungkin gejala, sama ada sosiopati atau psikopati, kedua-duanya  satu bentuk penyakit mental.

Manakala, beberapa gangguan tertentu yang boleh mengakibatkan kurang rasa empati seperti penyakit bipolar dan skizofrenia, yang berpunca daripada faktor genetik. Ia tidak dapat dipulihkan kecuali dengan bantuan perubatan dan sokongan keluarga tersayang, yang lain adalah akibat trauma pada usia muda dan persekitaran tidak sihat seperti penderaan dan sebagainya.

Banyak kajian menunjukkan pengabaian ibu bapa salah satu penyebab utama sosiopati. Seseorang ‘sociopath’ mempunyai tingkah laku yang melanggar hak orang lain, selalunya bersifat jenayah.

Kini perkara biasa dalam kala-ngan ibu bapa terpaksa berjauhan daripada anak untuk kira-kira dua pertiga daripada masa seharian mereka.

Adakala, ia kerana keperluan melakukan banyak pekerjaan untuk menyara hidup dan kadang-kadang pula, hanya kerana keinginan mahu mengekalkan gaya hidup mewah.

Kanak-kanak pula kadang-kadang menghabiskan lebih 13 jam sehari, sama ada di sekolah atau dengan penjaga yang keletihan dan tidak mampu memberikan kasih sayang serta perhatian diperlukan untuk pertumbuhan mental dan fizikal sihat.

Ini hanyalah sebahagian masalah yang serius dan jangka panjang, yang mungkin jadi sebahagian daripada diri kanak-kanak itu sehingga menginjak dewasa, sekiranya tidak diperbetulkan tanpa campur tangan awal dan sewajarnya.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2015, satu daripada setiap tiga rakyat Malaysia alami masalah kesihatan mental.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, kelaziman masalah kesihatan mental orang dewasa meningkat daripada 10.7 peratus pada 1996, kepada 11.2 peratus pada 2006, dan kepada 29.2 peratus pada 2015 .

Sudah tiba masanya kita merawat dari akar umbi masalah dihadapi, bukan sekadar membincangkan gejalanya.

Jika tidak, kita perlu berurusan dengan generasi yang berfikiran membahayakan orang lain adalah perkara biasa. - Bernama
Tiada rasa empati tanda masalah mental Tiada rasa empati tanda masalah mental Reviewed by Kakigosip on 14:11:00 Rating: 5
Powered by Blogger.