Berita Terkini
recent

'Saya rasa pandangan Hamidah itu memang tepat'

Padangan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman yang mempersoalkan keabsahan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama parti terbabit, baru-baru ini, adalah tepat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Bersatu tidak menjalankan mesyuarat berkenaan mengikut perlembagaan parti tersebut.

"Mengikut perlembagaan parti, Bersatu dikehendaki melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian terlebih dahulu, sebelum masyuarat agung diadakan.

"Perlembagaan mereka mengkehendaki bahawa mesyuarat (di peringkat) cawangan dan bahagian dilaksanakan dahulu sebelum mesyuarat agung di peringkat nasional dijalankan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Tahlil Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini semalam.

Nur Jazlan berkata, kegagalan Bersatu menjalankan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian juga menunjukkan satu penipuan pemimpin parti berkenaan kepada rakyat.

"Ini juga saya rasa satu penipuan kepada rakyat yang dibuat oleh pemimpin parti Bersatu yang cuba menipu rakyat dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai sokongan di akar umbi yang meluas.

"(Kata) tiap-tiap negeri ada... tiap-tiap daerah ada sokongan ke atas mereka. Tapi kalau mereka tak boleh mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian, maknanya ini bukan parti yang mempunyai akar umbi," katanya.

Sambil menyindir Bersatu sebagai sebuah parti yang diwujudkan di awang-awangan, Ketua Umno Bahagian Pulai itu berkata, beliau merasakan Bersatu tidak akan dihormati parti lain dalam pakatan pembangkang.

"Dan juga lepas ini, saya rasa akan diketepikan oleh parti pembangkang.

"Jadi saya rasa peluang untuk Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk memimpin parti pembangkang ini juga agak tipis disebabkan keadaan sebenar parti Bersatu ini yang tidak mempunyai sokongan ataupun jentera di peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum ini telah menyatakan bahawa Bersatu dikehendaki menepati semua syarat dalam perlembagaan mereka terlebih dahulu.

"Mereka kelirukan (rakyat) dengan berkata RoS bertindak dengan tidak adil, RoS berat sebelah. Tapi RoS hanya bertindak berlandaskan kepada perlembagaan parti yang dikemukakan oleh pemimpin parti Bersatu sendiri.

"Mereka sendiri tak dapat melaksanakan kehendak perlembagaan mereka, lepas tu nak salahkan RoS?. Saya harap rakyat tidak tertipu dengan helah parti Bersatu ini," katanya.

Terdahulu, dalam satu sidang media, Hamidah mempersoalkan keabsahan mesyuarat agung Bersatu yang diadakan, baru-baru  ini.

Beliau turut mengingatkan Bersatu tidak menyalahkan RoS kerana kegagalan mengikut perlembagaan parti.

Selain itu, Hamidah yang juga bekas Ketua Penaja Bersatu Gopeng menyifatkan Bersatu sebagai belum bersedia untuk memerintah negara.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.