'Saya dah lama maafkan dia'

“SAYA dah lama maafkan abang itu kerana tahu saya masuk tempat orang,” kata pelakon Zarina Zainuddin, 48, berkenaan insiden dirinya dihalau daripada menjual pulut kuning di Lumut, Perak pada 30 Disember lalu.

Kata Zarina, niat asalnya untuk menumpang seketika tetapi tidak menyangka ada peniaga di situ yang salah sangka.

“Kebetulan saya balik kampung kerana ada kenduri sepupu dan membawa bersama pulut kuning yang ditempah. Dalam masa sama, saya sebenarnya hendak membeli ikan bilis di kawasan itu.

“Kebetulan pelanggan belum sampai, saya tumpang duduk sekejap. Tiba-tiba datang sepasang suami isteri yang berniaga buah, marah-marah suruh angkat pulut.

“Tapi ia sudah berlalu dan saya juga sudah maafkan mereka. Saya juga minta maaf kerana datang tanpa diundang ke tempat orang. Maafkan saya sekali lagi. Lain kali saya kena hati-hati,” katanya kepada Harian Metro.



Perkara itu menjadi perhatian apabila Zarina meluahkannya di laman sosial Instagramnya.

Kelmarin individu dikenali sebagai Ishak Osman yang didakwa menghalau dan menengking Zarina, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebook Komuniti Seri Manjung FOC.

Ishak yang juga AJK Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Perak Cawangan Lumut menjelaskan, dia tidak berniat untuk berbuat demikian sebaliknya hanya menjalankan tugas.

“Dengan hati terbuka, saya ingin memohon maaf sekiranya pihak saya membuatkan segelintir netizen dan pelanggan dia tidak berpuas hati.

“Saya juga nak buat penjelasan kenapa perkara ini berlaku. Kami bertanggungjawab untuk memastikan semua peniaga di kawasan terbabit memiliki kebenaran berniaga daripada pihak Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

“Tiada niat menghalau dan menengking, tetapi hanya jalankan tugas. Tiada niat nak menjatuhkan dia. Saya percaya rezeki daripada Allah. Kalau ada pihak yang tidak puas hati, boleh berjumpa dengan saya di Lumut. Saya ada setiap hari di sana.

“Saya percaya insiden ini sengaja diperbesarkan seolah-olah saya yang bersalah. Namun saya sebagai peniaga kecil yang turut berniaga, tidak berniat nak menutup periuk nasi dia.

“Saya memohon maaf sekali. Sebagai manusia saya juga tak lari daripada melakukan kesilapan,” katanya.
'Saya dah lama maafkan dia' 'Saya dah lama maafkan dia'  Reviewed by Kakigosip on 10:40:00 Rating: 5
Powered by Blogger.