Berita Terkini
recent

Runut Bunyi Tutup Kelemahan ‘The Greatest Showman’

ADA sebab mengapa filem The Greatest Showman yang mula ditayangkan pada 28 Disember lalu amat dinanti-nantikan oleh penulis.

Selain amat meminati genre muzikal, penulis mahu mencari kelainan selepas hampir setahun disajikan dan ‘penat’ dengan filem-filem daripada genre yang hampir kesemuanya serupa – aksi, komedi, drama dan adaptasi komik adiwira.

Lalu, apabila The Greatest Showman menawarkan pilihan yang berbeza, peluang itu tidak dilepaskan begitu sahaja. Apatah lagi, filem muzikal juga amat jarang dihasilkan di Hollywood dan ditayangkan di negara ini (tidak ramai meminati muzikal).

Seingat penulis, filem muzikal terakhir yang penulis tonton di pawagam adalah La La Land lebih kurang setahun lalu yang sudah pun tersenarai sebagai salah sebuah filem kegemaran penulis sepanjang masa. Disebabkan itu, apabila adanya filem muzikal ditayangkan, penulis akan meluangkan masa menontonnya.



Ditambah pula, filem muzikal merupakan satu escapisme bagi penulis untuk menikmati sesuatu yang berbeza daripada genre lain apabila ia seolah-olah membawa penulis ke satu dunia hiburan berlainan.

Berbalik kepada The Greatest Showman, filem cereka pertama arahan Michael Gracey yang sebelum ini merupakan seorang pereka visual efek dari Australia ini tidak dinafikan memiliki segala-galanya yang diperlukan dalam menzahirkan sebuah filem muzikal.

Dari sudut teknikal dan mengambil kira nilai estetika The Greatest Showman, ia menawarkan apa yang diperlukan untuk melengkapkan perjalanan sebuah filem muzikal.

Dalam konteks ini, The Greatest Showman terus hidup dari awal hingga akhir dengan rekaan busana dan kostum, tata rias, penataan seni, sinematografi serta permainan warna yang menjanjikan sebuah penontonan yang indah di mata.

Namun, semua itu hanyalah dari sudut lahiriahnya tetapi nyawa The Greatest Showman sebenarnya terletak kepada muzik dan runut bunyi yang penulis sifatkan telah memberikan santapan halwa telinga yang cukup berbeza daripada filem muzikal lain sebelum ini.

Jika diukur secara logik dan pandangan kasar, muzik kontemporari yang ditawarkan oleh The Greatest Showman memang tidak menepati garis masa dan latar belakang filem ini pada kurun ke-19 yang sememangnya tidak memiliki konsep muzik seperti itu.



Pun begitu, penulis menolak tepi soal berkenaan kerana lebih melihat dalam konteks yang lebih luas dan menganggap hasil kerja dua pemenang Oscar, Benj Pasek dan Justin Paul (duo yang menghasilkan lagu-lagu untuk filem La La Land) kali ini sebagai sesuatu yang cukup kreatif dan di luar kotak pemikiran.

Ternyata setiap lagu yang ditampilkan dari awal hingga akhir sememangnya cepat menangkap telinga dan tidak membosankan. Bahkan, penulis sendiri begitu teruja sambil menggoyangkan kaki setiap kali lagu-lagunya berkumandang (dalam konteks ini lagu rancak).

Penulis tidak sesekali membandingkan hasil kerja mereka untuk The Greatest Showman dan La La Land kerana kedua-dua berada dalam acuan yang berbeza tetapi sebagai anak muda, Pasek dan Paul bijak dan kreatif dalam menghasilkan lagu dan lirik mengikut aliran ceritanya.

Setiap lirik mempunyai mesej yang cukup positif seiring dengan perjalanan cerita The Greatest Showman yang turut berada dalam landasan serupa di mana ia memfokuskan kepada jatuh bangun dalam kehidupan Phineas Taylor Barnum atau lebih dikenali sebagai P. T. Barnum yang dilakonkan oleh bekas calon Oscar, Hugh Jackman.

Meskipun The Greatest Showman tersenarai dalam kategori filem muzikal yang menghiburkan, kelemahannya terletak kepada lakon layar dan ceritanya yang penulis sifatkan sebagai mudah dan tidak memiliki elemen ekstravaganza jika mengambil dari sudut penceritaannya.


Jika dilihat kepada latar belakang cerita P.T. Barnum itu sendiri dan mengambil konsep filem muzikal, The Greatest Showman sebenarnya boleh menjadi lebih besar dan hebat seandainya ceritanya lebih memfokuskan kepada cerita Barnum dan dunia fantasinya itu.

Sebaliknya, cerita yang diketengahkan oleh Jenny Bicks selain bergandingan dengan bekas pemenang Oscar, Bill Condon untuk menghasilkan lakon layar The Greatest Showman dilihat lebih selesa memilih jalan selamat.

Ini kerana watak-watak dalam dunia sarkas dan hiburan Barnum itu cukup menarik untuk diceritakan kerana salah satu daripada mereka memiliki keistimewaan serta keunikan tersendiri.

Justeru, jika itu yang lebih difokuskan, penulis percaya The Greatest Showman lebih meninggalkan impak jika penilaian dibuat daripada sudut cerita dan lakon layarnya.

Malah, tidak mustahil The Greatest Showman untuk menjadi salah sebuah calon filem untuk merebut tempat dan meraih perhatian dalam musim anugerah Hollywood yang sudah pun bermula.


Mengulas tentang lakonan pula, watak Barnum yang dibawakan oleh Jackman tiada cacat celanya kerana Jackman kelihatan cukup cocok dan selesa menjayakan watak berkenaan. Dengan pengalamannya sebagai seorang bintang teater muzikal dan bekas pemenang Anugerah Tony, tiada masalah buat Jackman untuk menghayati dan menjiwai watak Barnum.

Begitu juga dengan watak isteri Barnum, Charity lakonan bekas calon Oscar, Michelle Williams yang sememangnya dilahirkan untuk membawakan watak berkenaan sesuai dengan kelembutan wajah dan personalitinya sebagai seorang wanita berjiwa lembut.

Di sebalik kelebihan dan kekurangan The Greatest Showman, maksud tersiratnya memang cukup relevan dengan permasalahan dunia hiburan ketika ini yang membabitkan soal popular, kualiti dan nilai estetika dalam sesuatu karya.

Namun, di akhirnya, apa yang dicari hanyalah hiburan semata-mata waima baik atau buruk kerana itulah yang diperlukan oleh masyarakat untuk membawa mereka lari seketika daripada dunia nyata.



www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.