Rahsia bertahan Nizam Laksamana

Tahun 2017 meninggalkan kita dengan pelbagai cerita tersendiri. Ada dalam kalangan anak seni berduka kerana situasi ekonomi menyebabkan kerjaya seni tidak berjalan lancar seperti yang direncanakan.

Bagaimanapun, berbeza buat penyanyi Nizam Laksamana yang tetap bersyukur kerana tawaran mengadakan persembahan terus ada.

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih membuka pintu rezeki saya dalam bidang seni. Setiap bulan saya mendapat empat atau lima tawaran persembahan. Ia bukan sekadar persembahan biasa tetapi meliputi majlis ilmu dan berkonsep Islamik. Saya dijemput sebagai panel atau artis undangan untuk menghiburkan hadirin,” katanya.

Seiring usianya yang sudah melepasi 50-an, Nizam sering dijadikan contoh atau idola kerana memperjuangkan seni daripada zaman rock sehinggalah kini.

“Ramai yang cuba mencungkil rahsia saya bertahan. Sebenarnya tiada rahsia tertentu, apa yang saya pegang ialah kuat semangat, kental dan jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab kita terhadap tuntutan agama,” katanya.

Selain menyanyi, Nizam juga mempunyai syarikat sendiri sebagai pembekal barangan keperluan pentas dan sistem bunyi. Dia juga membekalkan kelengkapan untuk asrama sekolah seperti cadar, tilam, katil, bantal, langsir dan pelbagai lagi peralatan lain.

“Berniaga dan menyanyi berjalan seiring. Saya menyanyi kerana minat selain menambah pendapatan untuk keluarga,” katanya.

Hasilkan single baru

Tidak dinafikan populariti lagu Gugurnya Bunga Cinta masih kuat sehingga kini. Namun, Nizam tidak boleh selama-lamanya mengharapkan lagu itu saja.

Sebagai pembuka tirai 2018, Nizam akan tampil dengan single terbaru berjudul Rajuk Kekasih. Istimewanya lagu itu tampil dengan melodi rock 1990-an.

“Lagu ciptaan Lan Laga dan lirik oleh Dwan Inzaghi. Pada saya, lagu ini akan mengembalikan kegemilangan era rock 1990-an.

“Saya percaya, ia akan mencetuskan minat generasi muda terhadap penyanyi era itu. Sentuhan dan ‘feel’ nyanyian saya seperti era 1990-an tetapi muzik digubah dalam bentuk moden,” katanya.

Menurutnya, pihaknya dalam proses menyiapkan rekaan kulit depan album dan percetakan. Ia dijangka menemui peminat pertengahan bulan ini. Penerbitan single itu turut ditaja oleh satu produk minuman yang Nizam menjadi dutanya.

“Majlis pelancaran akan dibuat secara gilang-gemilang di mana saya akan menyanyikan beberapa lagu termasuk single yang dirakam pada 2013 hingga 2016,” katanya.

Selain itu, Nizam juga dalam perancangan menganjurkan persembahan amal bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik.

“Saya masih berfikir sama ada untuk membuat konsert atau majlis makan malam amal yang akan turut menampilkan rakan-rakan penyanyi rock era 1990-an.

“Jumlah kami mungkin sekitar tujuh orang dan selain menyanyi, kami juga mungkin beramal cara lain. Sebahagian hasil yang diperolehi akan diberikan kepada badan kebajikan terpilih,” katanya.

Nizam berharap usaha itu akan menjadi kenyataan dan berjalan lancar seperti yang dirancang. Bahkan dia juga terbuka sekiranya ada pihak berminat menjalinkan kerjasama dengannya.
Rahsia bertahan Nizam Laksamana Rahsia bertahan Nizam Laksamana  Reviewed by Kakigosip on 04:08:00 Rating: 5
Powered by Blogger.