Pilihan muzik harus kena selera pendengar - Siti Hajar

KEJAYAAN stesen radio tidak hanya bergantung kepada promosi dan celoteh penyampainya sahaja tapi turut dipengaruhi pemilihan muzik agar kena dengan ‘selera’ pendengar.

Eksekutif Muzik Manis FM, Siti Hajar Manaf berkata, semua stesen radio memerlukan penyampai yang mempunyai pengetahuan mengenai lagu dan format penyusunan jadual lagu.

Mengulas lanjut, katanya, tanggungjawab utamanya adalah menyusun lagu yang bakal dimainkan penyampai radio dalam setiap segmen.

“Rutin tugas saya adalah untuk memilih dan menyusun lagu mengikut program yang ada di stesen ini. Lagi pula, Manis FM merupakan radio Pantai Timur, jadi saya perlu kenal genre yang sesuai agar setiap lagu mengikut selera pendengar,” katanya kepada Sinar Harian.

Bukan itu sahaja, katanya, tugas itu juga memerlukannya sentiasa berhubung dengan pengurusan syarikat rakaman.

“Biasanya, mereka akan mencadangkan Iagu yang memerlukan airplay selain memastikan apa yang diperdengarkan mampu menarik klien.

“Saya hanya akan rasa lega apabila penyusunan lagu berjalan lancar dan mengikut timing yang betul untuk setiap jadual,” katanya.

Minat muzik
Mengimbas kembali, Siti Hajar memulakan kerjayanya di Manis FM sebagai Pembantu Teknologi Maklumat (IT) pada 2007.

Bagaimanapun, anak kelahiran Kelantan ini dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai Eksekutif Muzik sejak 2014.

“Saya tidak meletakkan sasaran khusus kerana pengalaman yang berbeza akan diperoleh setiap hari. Dari situ, saya akan tahu apa yang akan saya buat untuk merealisasikan setiap permintaan.

“Alhamdulillah, saya selesa dengan tugas saya. Apa yang penting, saya perlu elakkan daripada rasa jemu,” katanya.

Biarpun baru tiga tahun menjawat tugas berkenaan, wanita berusia 35 tahun ini mengakui minatnya terhadap dunia muzik membantunya untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

Lebih memudahkan tugasnya, Siti Hajar meminati muzik dengan suasana kerja yang menyeronokkan selain dalam bidang yang diceburi.

Bahkan, katanya, perkara itulah yang perlu diterapkan oleh seseorang yang berminat untuk menceburi kerjaya sepertinya.

“Bagi yang berminat dengan kerjaya ini, perlulah sukakan muzik dalam pelbagai kategori dan genre.

“Mereka juga perlu tahu mengenai semua lagu dan siapa artis yang menyanyikan lagu tersebut,” katanya.

Pada masa sama, lulusan Diploma Teknologi Maklumat ini berharap agar semua pendengar Manis FM berpuas hati dengan pemilihan muzik yang diputarkannya.

“Saya hanya akan puas apabila saya tahu pendengar suka dengan lagu yang disusun dan tetap kekal di frekuensi yang sama.

“Jadi, saya harap pendengar akan enjoy dengan lagu-lagu yang disusun sekali gus terus kekal mendengarkan Manis FM," katanya.
Pilihan muzik harus kena selera pendengar - Siti Hajar Pilihan muzik harus kena selera pendengar - Siti Hajar Reviewed by Kakigosip on 03:34:00 Rating: 5
Powered by Blogger.