Pesona baju Melayu di India

PENYANYI Fakhrul Razi, 38, terkejut apabila video dia menyanyikan lagu Hindi dengan baju Melayu ketika menjayakan program Dil Hai Hindustani terbitan stesen TV di India, tular sejak beberapa hari lalu.

Kata Fakhrul, dia sama sekali tidak menjangka pembabitannya pada program itu menarik perhatian ramai.

“Sebenarnya program ini berlangsung tahun lalu tapi ketika itu tak ramai yang tahu. Apa saya lakukan hanya untuk kepuasan peribadi.

“Namun saya terkejut apabila ia tular di Malaysia baru-baru ini. Saya berasakan perjuagan dihargai di kalangan orang nusantara.

“Ketika menyertai program ini, saya tidak mewakili mana-mana pihak. Walaupun saya bangsa Melayu dan berasal dari Brunei, pembabitan saya ini sekali gus mewakili nusantara dan Asean secara keseluruhannya,” katanya kepada Harian Metro.


Penyanyi asal Brunei dan pernah menjadi Komentator program D’Academy Asia 3 itu berkata, dia memilih baju Melayu kerana bersesuaian dengan identiti dan personalitinya.

“Jika ada yang berbangga dengan saya dan berasa terinspirasi sama ada mereka orang Brunei, Malaysia, Singapura atau Indonesia, saya rasa dihargai dan dihormati.

“Sepanjang menyertai pertandingan ini, saya belajar banyak perkara. Selepas ini saya tidak fikir ia akan menjadi kejutan jika saya menyertai lebih banyak pertandingan bertaraf dunia.

“Saya meletakkan diri sebagai artis yang tiada genre kerana ini adalah seni,” katanya.

Menerusi pertandingan itu, Fakhrul berjaya menempatkan diri sehingga ke top 11 bersama dua lagi peserta dari luar negara. Selebihnya dari India. Bagaimanapun, Fakhrul hanya bertahan sehingga top 7 sahaja.

Kata Fakhrul, dia dalam perancangan ke Amerika Selatan bagi menghiburkan masyarakat India di sana pada Mac ini.
Pesona baju Melayu di India Pesona baju Melayu di India  Reviewed by Kakigosip on 10:18:00 Rating: 5
Powered by Blogger.