Berita Terkini
recent

Pesona 20 tahun Dayang Nurfaizah

MEMBUKTIKAN profil seninya yang sudah melewati dua dekad itu membawa makna tersendiri di dalam hidup, Dayang Nurfaizah meneruskan legasi muziknya menerusi konsert solo eksklusif di Esplanade, Singapura, Ahad lalu.

Menyifatkan peluang yang diraih merupakan satu kesempatan yang sukar untuk dilepaskan, penyanyi yang bakal mencecah usia 37 tahun Julai depan itu mengakui cukup teruja untuk membuat persembahan di hadapan pada peminatnya di Kota Singa.

Apatah lagi, momen bermakna konsert solo istimewanya itu turut disaksikan ahli keluarga serta para peminat setianya dari negara serantau.


“Jarang sekali ahli keluarga turut sama hadir untuk menyaksikan persembahan saya. Jadi kali ini auranya rasa lain. Lebih bermakna dan manis,” katanya ringkas.

Menerusi persembahan yang berlangsung sekitar dua jam itu, penyanyi asal Kuching, Sarawak itu mengalunkan 25 buah lagu yang turut dipersembahkan secara medley.

Tentunya, kejayaan konsert istimewa Dayang Nurfaizah di Singapura itu membuka lembaran baru buat permulaan seninya tahun ini. 

Permulaan sukses 2018
Dayang membuka tirai persembahan menerusi lagu hits, Seandainya Masih Ada Cinta yang berjaya menjulang Dayang sebagai antara penyanyi muda yang tidak boleh dipandang sepi bakatnya pada ketika itu.

Kemudian, sesi awal konsert berkenaan diserikan pula dengan lagu Erti Hidup.

Lagu berentak Irama Malaysia Kontemporari itu dilihat cukup gemersik dibawa penyanyi berkenaan dan rata-rata peminat yang memenuhi dewan turut tidak melepaskan peluang menyanyi bersama penyanyi pujaan mereka itu.

           
Mengulas mengenai perjalanan konsert tersebut secara keseluruhannya, Dayang memberitahu kebanyakan lagu-lagu yang dipilih adalah berdasarkan kepada permintaan peminat.

“Perjalanan muzik pada konsert tersebut ialah gambaran kepada penglibatan saya dalam dunia seni sejak awal hingga sekarang. Boleh dikatakan, 90 peratus seleksi lagu adalah menerusi permintaan peminat yang diambil kira menerusi pemerhatian dan media sosial.

“Hanya ada beberapa buah lagu saja yang saya pilih. Misalnya untuk segmen cover version dan juga lagu asli. Malah, ada juga yang minta saya untuk nyanyikan lagu genre asli dan klasik. Jadi, rasanya tidak salah andai saya ambil idea peminat untuk diterjemahkan pada konsert kali ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Makna tersendiri
Bagaimanapun, kata Dayang, barisan lagu yang dipersembahkan juga memberi makna tersendiri buat dirinya. Selain menjadi hadiah buat penonton, penyanyi ini sendiri teruja untuk kembali menyanyikan lagu lama yang jarang didendangkan sebelum ini.

“Bila peminat minta, saya dan produksi memilih lagu manakah yang sesuai dan rata-ratanya lagu lama yang jarang dinyanyikan. Misalnya lagu Mana Mungkin yang rasanya kali terakhir saya alunkan lebih dua tahun lalu menerusi konsert di Kula Lumpur,” ujar Dayang yang turut menambah, segmen medley untuk cover version antara segmen yang paling mencabar.

“Sengaja pilih lagu-lagu berkenaan untuk menyanyi bersama peminat. Untuk ‘break’ seketika momentum persembahan. Jujurnya memang tidak pernah terfikir untuk nyanyikan lagu Justin Timberlake misalnya,” kongsinya lagi.

Melihat kepada sisi personalitinya yang nyata berbeza berbanding dulu, Dayang cukup spontaneous pada malam itu. Sempat penyanyi ini bergurau senda dengan peminat sekali gus membangkitkan aura lebih relak, meski Dayang tidak putus-putus mengatakan dia cukup gementar sepanjang konsert.

Bagaimanapun, perasaan gugup dan gementar tidak memberi sebarang refleksi terhadap kualiti persembahan. Jelas Dayang, dia masih sama seperti dulu, baik dari segi personaliti juga muzik.

“Perubahan itu mungkin berlaku seiring dengan kematangan dalam seni dan kalau nak dikatakan mengenai perubahan dari segi muzik, rasanya masih lagi sama. Cara nyanyian saya masih lagi dalam mood R&B, cuma lagu-lagu yang dinyanyikan saja berentak balada. Pada fasa sekarang, rasanya saya sudah ‘kenal’ dengan suara sendiri, cuma cara nyanyian saja yang berbeza.

“Sebab itulah kali ini, saya tidak mahu lari jauh daripada susunan muzik asal kerana ada juga peminat yang minta agar sesebuah lagu itu tidak terlalu diubah,” ujar Dayang yang turut berterima kasih kepada Naza Kia Malaysia yang telah menaja tiga model kenderaan iaitu Kia Grand Carnival, Kia Sportage dan Kia Sorento bagi membawa rombongan media Malaysia untuk menonton konsert berkenaan baru-baru ini.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.