Berita Terkini
recent

Perang mulut perkara biasa

Sebagai kumpulan muzik yang mula mendapat perhatian, waktu relaks kumpulan Xpose lebih banyak dihabiskan di studio latihan disediakan pihak syarikat rakaman.

Aktiviti itulah diluangkan bersama SELEBRITI Metro Ahad bagi mengisi ruangan Rias dan Relaks minggu ini.

Hampir dua jam meluangkan masa bersama, Xpose dianggotai Furhan selaku vokalis, Eppy (bass), Zaim (keyboard), Taqim (dram) dan Fakhrul (gitar) berasal dari Melaka ini sering berkumpul di Kuala Lumpur untuk aktiviti bersama.

“Kami memang jarang berjumpa andai berada di Melaka tapi di Kuala Lumpur berbeza sebab kami tinggal di rumah yang sudah disediakan.

“Apabila bertemu, kami akan berbincang mengenai lagu, ‘jamming’, terutama apabila ada persembahan dalam masa terdekat. Dalam seminggu, ada kala langsung tidak berjumpa,” kata Eppy.

Jika persembahan pentas semakin dekat, biasanya emosi antara mereka berbeza di dalam studio.

Kata Eppy, berperang mulut dan bertekak adalah perkara biasa kerana semua mahukan susunan muzik terbaik.

Katanya, sehinggakan orang luar yang tidak mengenali Xpose akan beranggapan pergaduhan sedang berlaku sesama mereka.

Jika persembahan itu pada Ahad, mereka akan mula berbincang mengenai susunan muzik pada Rabu dan biasanya mengambil masa sehari suntuk.

Xpose akui, ada kala mereka berjaga semalaman atau hanya tidur di studio saja jika terlalu penat.

“Walaupun bergaduh bagai nak rak, selepas dapat susunan muzik yang sudah dipersetujui semua, kami akan berbaik semula. Suasana tegang hanya di dalam studio, tidak dibawa sampai ke luar,” kata Eppy.

Rakan-rakan Xpose lain mengakui dalam kumpulan mereka, Eppy ketua yang sangat tegas. Manakala Taqim disifatkan seorang yang suka membangkang.

Namun begitu, anggota yang sensitif dan ‘kuat merajuk’ ialah vokalisnya, Furhan.

Wajah Furhan merah padam menahan malu dan kemudian ketawa saat disifatkan begitu oleh rakan-rakannya mengakui mungkin usianya lebih muda berbanding yang lain.

“Mungkin sebab saya paling muda, maka agak sensitif. Saya hormat rakan-rakan lain yang lebih berusia,” kata Furhan.

Selain berkumpul di studio dan berlatih menghasilkan lagu, mereka juga suka lepak di pusat beli-belah seperti di Lot 10.

Eppy akui sukar meluangkan masa bersama kerana terikat dengan komitmen masing-masing.

Menurutnya, semua ahli Xpose ada komitmen dan kerja sendiri. Sehinggakan jika berjanji jam 3 petang, belum tentu semua dapat tiba tepat pada masanya.

“Saya banyak terbabit dengan kerja elektrikal, Taqim pula kerja sepenuh masa sebagai pemuzik di majlis perbandaran di Melaka.

“Furhan dan Zamin pula sering menjayakan persembahan dari hotel ke hotel, begitu juga Fakhrul yang sibuk sebagai perunding perkahwinan dan pemuzik di sana,” kata Eppy.

Namun begitu, mereka beruntung dapat menyusun jadual hasil kerjasama syarikat rakaman, SRC.

Furhan berkata, komitmen kerja di Melaka tidak mengganggu masa mereka kerana SRC selalu akan beri tarikh lebih awal yang memudahkan mereka untuk memohon cuti.

Ditanya aktiviti relaks individu, mereka suka menonton wayang.

“Paling banyak ialah suka berangan. Ia bagus untuk vokalis sebab dapat visualisasikan keadaan di pentas. Selain itu, saya juga suka mengaji apabila berada di rumah,” kata Furhan.

Eppy pula suka lepak di kedai ‘vape’ milik kawannya. Apabila pulang dari kerja, dia akan keluar menonton wayang seorang diri. Pada masa lain, dia akan habiskan masa mencipta lagu.

Berbeza dengan Taqim, memilih menghabiskan masa terluang dengan memandu tanpa hala tuju.

Kata Taqim, dia pernah memandu sehingga ke selatan tanah air dan pulang semula pada hari sama.

Fakhrul yang berjiwa metal dan mempunyai bakat menyolek, suka membantu ibunya memasak di dapur yang dibina khas di depan rumah keluarga.

Bagi Zaim pula, dia memilih untuk meluangkan masa bersama anaknya membeli-belah di pasar raya.

“Kami semua ada sasaran sendiri, jadi pengorbanan dari segi masa perlu ada untuk bersama. Andai ditanya ke mana sasaran Xpose, kami mahu band ini berada di tempat lebih baik.

“Kalau boleh Xpose dapat masuk ke pentas AJL (Anugerah Juara Lagu) atau buat persembahan di Royal Albert Hall di London,” kata Eppy dipersetujui rakan lain.

Xpose mahu bergelar legenda seperti nama besar lain dalam industri muzik. Malah mereka mahu berdiri sama tinggi dan lagu menjadi malar segar seperti Akim & The Magistret, Mojo, Projek Pistol, Yuna dan lebih besar, Tan Sri P Ramlee.

Projek terbaru, selepas lagu Sandiwara berjaya mencecah lebih 4 juta tontonan di Youtube, mereka bakal muncul dengan single terbaru yang dijangka dilancarkan pada awal 2018.

Bagi peminat yang mahu mengikuti perkembangan mereka, boleh melayari saluran Youtube dan Instagram dengan carian Xpose atau official_xpose.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.