Penyinar dunia seni 2018

Tahun 2017 baru saja melabuhkan tirainya semalam.

Kini, 2018 menjelma dengan menjanjikan pelbagai kisah dan warna dalam industri hiburan tempatan.

Jika sepanjang 2017 banyak peristiwa yang berlaku di luar jangkaan dan kotak fikiran, pastinya tahun baru 2018 turut memberikan cabaran berbeza.

Namun, apa yang bakal menjadi tumpuan adalah siapa bintang baru yang mampu menyerlah dan bersinar sekali gus mengetepikan populariti artis sedia ada?

Berikut RAP menyenaraikan 10 artis yang dilihat mampu menarik perhatian peminat untuk menggapai bintang seterusnya bersinar dan bergemerlapan.

1. Farah Nabilah

Pelakon berusia 26 tahun ini membuktikan kualiti lakonannya dalam drama Titian Cinta bersama Zul Ariffin. Seiring populariti drama itu, nama Farah Nabilah terus menjadi sebutan. Malah, untuk tahun baru ini, Farah terbabit dalam drama slot Akasia bergandingan dengan Aliff Aziz. Selain itu, Farah juga dijangka membintangi lebih banyak drama yang menampilkannya selaku watak utama.


2. Hannah Delisha

Heroin drama Mencintaimu Mr Photographer ini bukan saja cantik, malah berbakat dalam bidang nyanyian dan lakonan.

Sepanjang tahun lalu, wajah Hannah juga menghiasi papan iklan apabila dilantik menjadi duta telefon pintar.

Filem lakonan sulungnya, Langsuir juga bakal ditayangkan tahun ini.


3. Eyka Farhana

Tolak tepi kontroversi menghambat namanya tahun lalu, Eyka Farhana antara yang diramal bakal bersinar.

Biarpun sudah lama terbabit dalam bidang lakonan, baru kali ini Eyka diberi kepercayaan berlakon dalam karya berkualiti dan terbaik.

Selain bakal muncul dalam filem Safari Mall, Eyka juga dilantik menjadi duta produk kecantikan yang bakal diumumkan kelak.


4. Hanna Aqeela

Nama pelakon berusia 28 tahun ini turut tersenarai antara artis yang bakal bersinar tahun ini.

Walaupun sebelum ini nama Hanna Aqeela kurang mendapat tempat, kemunculannya dalam drama Kelip Kelip Kota London lakonan bersama Hafidz Roshdi membuka mata banyak pihak. Malah, ramai yang tidak sabar menantikan magis lakonan Hanna tahun ini.


5. Nabila Razali

Gimik kontroversi yang dicipta menerusi lagu Pematah Hati berjaya membawa nama Nabila Razali jauh meninggalkan rakan seangkatan lain.

Disebabkan lagu ini juga, nama Nabila menjadi tular selain lagu berkenaan yang mencipta fenomena tersendiri.

Populariti diraih penghujung tahun lalu dibawa tahun ini. Sana sini peminat mengharapkan Nabila muncul dengan single baru.


6. Haqiem Rusli

Sepanjang tahun lalu nama penyanyi dan komposer muda berusia 20 tahun ini sedikit tenggelam jika dibandingkan dengan populariti diraih Khai Bahar.

Namun, Haqiem yang layak ke pentas Anugerah Juara Lagu 32 pada Februari ini menerusi lagu Tergantung Sepi bakal meletakkan namanya di kedudukan tersendiri.

Tergantung Sepi juga diramal bergelar juara lagu.


7. Andi Bernadee

Tular menerusi lagu Tak Tun Tuang dilihat jalan pintas untuk Andi Bernadee mengekalkan popularitinya tahun ini. Mungkin ia rezeki untuknya selepas gagal mencipta nama menerusi single Tiada Lagi Maaf yang dilancarkan pada Mac tahun lalu.


8. Fikry Ibrahim

Pelawak, Fikry Ibrahim dilihat pelapis kepada pelawak sedia ada.

Pada masa sama, Fikry menunjukkan sisi berbeza apabila turut mencuba dalam bidang lakonan dan pengacaraan terutama menerusi drama bersiri popular Hero Seorang Cinderella.

Ternyata kedua-dua cabang seni ini mampu dilakukan dengan baik. Tidak perlu menunggu lama, nama Fikry antara yang menjadi pilihan dan senarai utama bagi membintangi drama atau sesebuah program.



9. Ikmal Amry

Finalis Hero Remaja 2017 ini mula mencuri perhatian dalam drama Mencintaimu Mr Photographer. Perlahan-lahan Ikmal mengasah bakat lakonannya sehingga akhirnya ramai mengakui dia pelakon berbakat.

Tahun ini, Ikmal diramal antara pelakon baru yang layak menggalas watak hero. Tidak hanya bersandarkan rupa semata-mata, bakat lakonannya melebihi apa yang ada.


10. As’ad Motawh

Hujung tahun lalu As’ad Motawh dipilih sebagai pemenang bagi kategori Penyanyi Baru Top Hot 2017 anjuran stesen radio Hot FM. Berbekalkan single Senyum, remaja berusia 17 tahun ini mampu membuatkan peminat ‘cair’ dengan suara dan penampilan dimiliki.

Tahun ini juga, As’ad diramal mampu memberikan saingan kepada beberapa penyanyi muda lain.
Penyinar dunia seni 2018 Penyinar dunia seni 2018  Reviewed by Kakigosip on 04:19:00 Rating: 5
Powered by Blogger.