Pementasan OCD, ajak masyarakat bersikap lebih terbuka

MENJELANG tahun 2020, gangguan kesihatan mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar kepada rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

Penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) dilihat sebagai sesuatu yang membimbangkan, namun ia jarang sekali diperkatakan secara terbuka kerana stigma sosial masyarakat yang sering melihatnya sebagai sesuatu yang perlu disembunyikan.

Atas kesedaran itu, The Actors Studio, Seni Teater Rakyat bakal menampilkan sebuah naskhah yang akan menggalakkan masyarakat untuk lebih terbuka berkongsi dan membincangkan penyakit yang semakin serius ini.

Ia juga bertujuan memberi lebih pendedahan selain pemahaman terhadap penyakit ini sebagai usaha terhadap kesedaran terhadap masalah kesihatan mental secara amnya.

Naskhah bertajuk OCD arahan Ho Lee Ching ini bakal dipentaskan di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (Klpac), pada 25 Januari hingga 28 Januari depan.

Tanpa persediaan skrip

Menjadikan naskhah ini sebagai debutnya Pengarah, Ho Lee Ching, yang juga penghidap OCD, mengambil pengalaman yang dilaluinya sendiri dalam usaha memberi gambaran lebih tepat kepada masyarakat.

“Naskhah ini cuba mengajak orang ramai melihat lebih dekat mengenai kehidupan sebenar pesakit OCD dan berbincang secara terbuka mengenainya,” katanya.

Bagi memberi kelainan dan lebih cabaran, OCD dipentaskan sebagai naskhah Devised Play dan proses awalnya dilakukan tanpa persediaan skrip sebagaimana lazim teater biasa.

Sebaliknya ia dibuat ketika proses latihan berlangsung untuk disesuaikan dengan jalan cerita yang dipilih, malah lebih penting lagi pelakon juga terlibat dalam memberikan input demi membangunkan jalan cerita.

Semestinya ia bukan suatu proses yang mudah, namun konsep ini memberi banyak kelebihan kepada pelakon untuk lebih menghayati watak masing-masing kerana mereka terlibat secara langsung menerusi proses awal.

OCD menampilkan barisan pelakon muda berbakat, terdiri daripada Emma Megan Khoo, Amanda Xavier, Riena Aisya dan Jun Vinh Teoh.

Sementara  Coebar Abel dan Ian Francis pula bertindak sebagai pemuzik yang turut menjadi elemen penting dalam pementasan ini.

Pementasan  ini juga bersempena meraikan sambutan ulang tahun The Actors Studio yang ke-30.
Pementasan OCD, ajak masyarakat bersikap lebih terbuka Pementasan OCD, ajak masyarakat bersikap lebih terbuka Reviewed by Kakigosip on 05:00:00 Rating: 5
Powered by Blogger.