Berita Terkini
recent

Pelakon senior bukan sembarangan

Pertaruhan berani apabila penerbit dan pengarah filem Kalla memilih Faizal Hussein dan Vanidah sebagai bintang utama. Mereka yakin dua pelakon senior ini paling layak menghidupkan karakter dibentuk penulis skrip, Wan Hasliza Wan Zainuddin (Liza Ismail), yang juga pengarah filem itu.

Menurut Liza, dalam bayangannya, hanya Faizal dan Vanidah paling berwibawa untuk membawakan watak pensyarah Sejarah bernama Ezahar dan Serina, wanita jelita yang hidup dalam misteri.

“Untuk hidupkan watak pensyarah yang pakar dalam ilmu Sejarah tak boleh didokong orang muda. Pelakon itu mestilah sangat berkaliber, berkarisma dan Faizal ada ciri-ciri itu.

“Bukan senang nak cari pelakon seperti Faizal yang mampu melakonkan pelbagai karakter. Pemilihan Vanidah juga tepat kerana meskipun berusia, dia ada sesuatu yang tiada pada pelakon lain.

“Kalla yang bermaksud Masa perlukan satu karakter yang sangat kuat dan apa saya mahukan ada pada Faizal serta Vanidah. Sementara itu Farali Khan yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon di Indonesia sangat tangkas beraksi. Hampir semua aksi lasak dilakukannya sendiri dan dalam filem ini malah dia membantu Ezahar mencari isterinya yang hilang,” katanya.

Tegas Liza, tidak mudah untuk menyiapkan filem Kalla kerana ia membabitkan set yang besar, banyak aksi dan kesan khas.

“Kru produksi membuat sendiri 60 peratus set penggambaran termasuk kesan runtuhan bangunan yang dibom. Saya pastikan set itu tampak realistik. Sementara set lain dibantu dengan skrin hijau.

“Kalla diilhamkan daripada tragedi 11 September di New York namun dalam filem ini kejadian pengeboman itu berlaku di Malaysia,” katanya.

Liza ditemui di lokasi penggambaran bangunan runtuh di UniKL Malaysian Institute Of Aviation Technology (Miat) Subang dan ketika itu penggambaran sudah berlangsung lebih 40 hari.

Mereka semua berehat seketika kerana seorang lagi pelakon, Azhan Rani mengerjakan umrah dan penggambaran disambung awal bulan ini. Ada 10 babak lagi perlu disiapkan.

Filem itu dijangkakan ditayang pada Disember depan.

Sinopsis

Filem thriller ini mengisahkan pensyarah Sejarah, Ezahar (Faizal Hussein) sudah tiga tahun berkahwin dengan Serina (Vanidah Imran) dan mereka hidup bahagia.

Bagaimanapun, suatu hari ketika dia menghantar Serina ke tempat kerja, bangunan itu tiba-tiba dibom pengganas dan Serina terkorban. Ezahar sangat sedih dengan tragedi itu bertindak mencari pengganas.

Namun dalam usahanya mencari pengganas terbabit, dia menerima e-mel mencurigakan yang dikirim dari sebuah kafe siber di Sabah.

Ezahar bergegas ke Sabah dan hasil siasatan dia mengesyaki isterinya diugut kumpulan pengganas yang dikenali sebagai Kalla. Kumpulan itu dipimpin seorang lelaki yang dipanggil Ayah.

Namun, untuk berjumpa Ayah, Ezahar perlu berdepan dengan tujuh ketua daripada tujuh divisyen.

Sebenarnya, Ezahar pernah terserempak dengan Ayah yang menyamar sebagai penjual surat khabar di tepi jalan.

Ezahar berdepan masalah besar sebaik pulang ke Semenanjung apabila dituduh sebagai pelarian dan terpaksa membuktikan dirinya tidak bersalah. Dalam pada itu, dia terus menyiasat mengenai Kalla dan terkejut apabila mengetahui identiti sebenar Serina.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.