Berita Terkini
recent

Papar kisah cinta dua latar belakang berbeza

HUBUNGAN cinta yang terjalin tanpa sengaja dalam kalangan remaja tentunya menjadi sebahagian pengalaman hidup yang pastinya manis untuk dikongsi.

Lebih-lebih lagi, apabila pasangan bercinta itu pada awalnya saling kurang menyukai antara satu sama lain.

Itulah yang cuba digambarkan Pengarah, Suhaimi Lua mengenai drama terbaru arahannya, Uniknya Cinta yang bakal ditayangkan menerusi slot Cerekarama di TV3 pada 3 Februari depan, jam 10 malam.

Berkongsi mengenai drama tersebut, Uniknya Cinta mengisahkan pasangan kekasih yang berbeza latar belakang iaitu Hazama anak seorang bekas penjenayah sementara Azar Azmi pula memainkan watak sebagai Amelina iaitu anak kepada seorang pegawai polis.

“Hazama dan Amelina merupakan pelajar di sebuah universiti dan titik percintaan di antara dua individu tersebut bermula apabila mereka mengikuti minggu orientasi. Sebelum ini, kedua-duanya tidak bertegur sapa malah saling bersaing di antara satu sama lain, sehinggalah berlaku satu kisah yang sekali gus membibitkan rasa cinta,” katanya kepada Sinar Harian.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur selama lapan hari, Uniknya Cinta turut membariskan pelakon lain seperti Ruhainies, Fauzi Nawawi, Ridzuan Hashim, Zoey Rahman dan ramai lagi.

“Proses penggambaran berjalan lancar dan pelakon memberi komitmen terbaik terhadap drama ini. Sebagai pengarah, sudah pastinya saya berpuas hati dengan lakonan Hazama. Ini kali pertama kami bekerjasama. Dia juga sudah pun mempamerkan kebolehannya sebelum ini dan saya lihat dia boleh pergi jauh dalam bidang lakonan.

“Misalnya dalam drama komedi romantik seperti Uniknya Cinta ini, ternyata dia boleh hayati watak dengan cukup baik,” katanya yang turut menambah, dia lebih gemar mengambil muka baru sebagai pelengkap kepada keseluruhan drama.

Pelakon baru

Katanya, selain memberi peluang kepada muka baru untuk menggilap bakat dalam lakonan, pihak produksi juga dapat memberi tunjuk ajar dengan lebih mudah dan jelas, dalam konteks lakonan di dalam sesebuah drama yang diarahkan ketika itu.

“Rata-rata mereka masih belum ada asas yang cukup dan apabila di set, kita boleh membentuk, mewarna seterusnya memberikan mereka untuk berkarya mengikut apa yang pengarah mahukan,” jelas Suhaimi yang bakal mengarahkan beberapa drama iaitu Di Penghujung Sujud dan Baju Raya Eksklusif untuk tayangan hari raya nanti.

Pada masa sama, Suhaimi juga bakal mengarahkan sebuah drama rantaian untuk slot Samarinda, April depan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.