Nurul rasa lebih 'bernyawa'

Seperti yang dirancang akhirnya impian penyanyi Noorulhuda Abdul Wahab atau Nurul untuk melebarkan sayap di tanah kelahiran suaminya di Perancis bakal menjadi kenyataan.

Perancangan dan perkembangan rakaman album terbabit sering dikongsi Nurul di laman sosialnya dan terbaru selepas hampir dua tahun buah tangan itu sudahpun siap sepenuhnya serta hanya menunggu lampu hijau syarikat rakaman di sana.

Dihubungi bagi berkongsi berita gembira itu, Nurul berkata sudah lama dia memasang impian menghasilkan album untuk pasaran di Perancis.

Ketika itu dia baru pulang bercuti dari Eropah dan belum bertemu jodoh dengan Eric Daniel Depp.

“Sejak remaja lagi saya memang tertarik dengan Paris dan bahasa Perancis. Apabila berpeluang bercuti ke sana pada 2008, keinginan untuk mendalami bahasa Perancis semakin menebal.

“Saya memang suka belajar banyak bahasa dan kagum dengan orang yang tahu pelbagai bahasa. Pernah berkongsi pentas dengan Anggun, saya rasa kagum dengan penyanyi kelahiran Indonesia itu yang sangat popular di Perancis,” katanya.

Kebetulan jelas Nurul, dia punya kenalan juga penulis lirik, Shah Shamsiri yang mahir berbahasa Perancis dan meminta dia untuk mengajarnya.

“Waktu itu memang saya berangan untuk belajar bahasa Perancis dan mahu menetap di sana. Tak sangka pula setahun selepas itu, saya bertemu Eric dan kami bernikah,” katanya.

Ilham untuk mendendangkan lagu dalam bahasa Perancis diperoleh pada 2015 dan mengikut perancangan awal ia mahu dihasilkan dalam tiga bahasa dan liriknya ditulis Shah Shamsiri.

“Apabila siap suami memberikan lagu ini untuk diperdengarkan kepada temannya dengan tujuan menilai sebutan. Dia berikan kepada rakannya Vincent Adobatt yang memiliki restoran di universiti muzik di sana.

“Vincent kemudian memberikan lagu itu kepada tiga rakannya yang juga penggiat muzik untuk mendapatkan maklum balas dan seorang daripada mereka, Kirsten Harma menunjukkan minat.

“Penghujung 2015 saya tinggal di Perancis selama empat bulan. Waktu itu saya bertemu dengan mereka dan kata teman suami mereka berminat untuk menghasilkan album.

“Malah mereka sanggup menanggung segala kos dan saya hanya perlu tanggung kos pengangkutan ke sana.

“Kirsten suka suara dan percaya dengan bakat saya. Apabila perkara itu diutarakan kepada Eric dia memberikan restu. Katanya pada saya pintu di depan mata sudah dibuka sekarang terpulang sama ada mahu menerimanya atau tidak.

“Apabila saya terima tawaran itu, bemula 12 Disember 2015 hingga Mac 2016 segala kerja pembikinan bermula. Saya masuk ke Sekolah SJL French di Desa Hartamas untuk asah kembali sebutan. Sepanjang 2016 boleh dikatakan saya sangat sibuk dan tidak jumpa rakan-rakan.

“Saya kembali jumpa guru vokal kerana teman Eric itu juga seorang komposer dan konduktor orkestra. Bekerja dengan pakar sudah tentu saya harus serius.

“Setelah segala kerja siap pada Mac tahun lalu saya kembali ke Perancis untuk rakam tujuh lagu dalam masa tiga hari,” katanya.

Pada November lalu dia turut sibuk menjalani penggambaran untuk klip video dan fotografi muka depan album.

‘Mock-up’ albumnya juga kini ada pada Kirsten untuk dibawa bertemu dengan wakil syarikat rakaman di sana.

Sebaik mendapat persetujuan syarikat rakaman di sana, sudah tentu Nurul harus berkorban dan menetap di sana? Ditanya mengenai perkara itu kata Nurul, Eric banyak membantu malah menyokong penuh usahanya.

“Eric menegaskan bahawa apabila album ini dipasarkan saya perlu ke sana dan melakukan apa sahaja yang harus dilaksanakan. Biar dia di sini menjaga anak-anak. Saya tidak akan menetap terus di sana sebaliknya akan berulang-alik.

“Sedia maklum ia sangat mencabar, saya sudah mempersiapkan mental dan fizikal untuk berdepan ‘dunia’ baru. Apabila album ini dipasarkan saya harus berusaha seperti artis baru lain.

“Begitupun, saya sangat teruja kerana ia membuatkan saya mahu terus berusaha dan rasa lebih ‘bernyawa’,” katanya.
Nurul rasa lebih 'bernyawa' Nurul rasa lebih 'bernyawa'  Reviewed by Kakigosip on 06:18:00 Rating: 5
Powered by Blogger.