Muahciked: Usah cemari masjid

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Adik doakan semoga hujung minggu kalian dicurahi cahaya kebahagiaan dan ceria di samping insan tersayang. Lagi ramai orang sayang, lagi bahagia kan?

Minggu ini adik terpanggil untuk berkongsi cerita mengenai sikap manusia sekarang yang sudah tidak ada rasa malu lagi melakukan kesilapan. Bunyi macam marah kan? Memang patut kita rasa geram!

Mana tidaknya, baru-baru ini adik terbaca satu artikel mengenai beg tangan wanita berusia 74 tahun yang sedang solat di atas kerusi direntap ‘Jembalang Masjid’.

Akibatnya wang tunai dan barang kemasnya bernilai RM20,000 lesap. Masya-Allah.

Walaupun 12 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di masjid berkenaan bagi mencegah kecurian, ternyata ia tidak menghalang pencuri mencari peluang mendapatkan habuan ketika jemaah menunaikan solat.

Astaghfirullahalazim... Adik mengucap panjang mengenangkan betapa hina dan jijik manusia seperti ini yang sanggup mencemarkan rumah Allah di saat umat Islam mengerjakan solat. Tak rasa malu ke?

Rasanya kalau pencuri itu berjaya ditangkap, apakah hukuman setimpal yang layak diterimanya? Kalau adik memang takkan biarkan si pencuri ini terlepas.

Memang adik akan pastikan pencuri ini menerima hukuman daripada pihak berkuasa. Hukuman dengan Allah tak tahulah macam mana kan.

Jujur Adik sedih dan kesal apabila rumah Allah dicemari dengan kes-kes kecurian dan macam-macam lagi perbuatan terkutuk.

Adik percaya kes begini bukan baru, kerana sebelum ini banyak kes kecurian yang berlaku di masjid dan surau viral di Internet.

Selalunya kes tabung masjid dicuri dengan pelbagai cara tapi sejak akhir-akhir ini pencuri sudah mula berani masuk masjid dan mencuri beg tangan jemaah terutama kaum Hawa. Lebih-lebih lagi ketika sujud, memang paling sesuai untuk pencuri ambil apa sahaja yang berkenan di hati.

Adik rasa kerajaan perlu mencari jalan bagi membanteras masalah ini. Jangan biarkan manusia seperti ini terlepas begitu sahaja dan tidak berasa takut untuk melakukan kesalahan di masjid.

Barangkali pemantauan pihak berkuasa secara berkala di masjid-masjid yang sering berlaku kecurian atau memasang CCTV. Biar wajah pencuri ini dipaparkan dan jadi pengajaran.

Bunyinya seperti Adik kejam tetapi percayalah apabila sudah terbiasa mencuri, si pelaku akan buat lagi. Kalau ditangkap pun mungkin sudah lali.

Selain kisah kecurian di masjid, adik terbaca satu artikel baru-baru ini mengenai seorang lelaki didakwa mencabul kehormatan sekurang-kurangnya 15 kanak-kanak di sebuah masjid di Desa Long Beluah, Kecamatan Tanjung Palas Barat.

Lelaki berusia 59 tahun yang bertugas sebagai penjaga masjid itu ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan susulan laporan ibu bapa mangsa. Suspek didakwa mendekati kanak-kanak berusia tujuh hingga lapan tahun yang menghadiri pengajian kitab di sebuah masjid di Long Beluah.

Suspek merayu dengan memberikan hadiah berupa wang dan memujuk mangsa untuk dipangku sebelum meraba bahagian sulit mangsa dan lelaki berkenaan dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sejak September tahun lalu dan kes hanya terbongkar pada 9 Januari lalu.

Kadangkala adik terfikir apa sebenarnya yang membuatkan individu itu tidak takut untuk melakukan kesalahan. Adakah mereka kurang kasih sayang ibu bapa atau terpengaruh dengan rakan-rakan sehingga hilang pertimbangan?

Adik menyeru sangat kepada semua pembaca supaya mendidik jiwa kita menjadi insan yang baik. Pesanan ini juga buat diri adik supaya kita sentiasa berwaspada.

Khusus buat ibu bapa, pantau dan didiklah anak anda ketika mereka masih kecil kerana perbuatan mereka akan turut mencerminkan diri anda yang banyak menghabiskan masa bersama mereka.

Jadi, ayuh sama-sama kita tanya diri dan jadi manusia lebih baik demi kesejahteraan negara tercinta ini. #Bersihkandiri
Muahciked: Usah cemari masjid Muahciked: Usah cemari masjid Reviewed by Kakigosip on 06:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.