Mira Filzah sedia terima kritikan

PENGACARA baru Nona, Mira Filzah, 25, mengakui akan bersikap terbuka menerima teguran dan pandangan yang diberikan produksi penerbitan program majalah wanita popular itu dan penonton terhadap cara pengacaraannya.

Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia baru menyiapkan beberapa rakaman penggambaran program yang mempunyai 49 episod keseluruhan itu.

"Setakat ini, dua episod Nona musim baru yang sudah disiarkan TV3, setiap Ahad 2 petang. Alhamdulillah saya belum lagi menerima kritikan kurang enak daripada penonton.

"Cuma kebanyakan teguran diberi penonton adalah mengenai penyampaian saya ketika bercakap terlalu laju. Saya mengakuinya dan akan perbaiki.

"Apapun, beri saya masa untuk memperbaiki kelemahan itu dan yakin mampu diatasi dalam siaran episod Nona akan datang," katanya.

Mira berkata dia juga sering berbincang dengan produksi penerbitan Nona sekiranya apa yang dipersembahkan dalam pengacaraannya kurang mantap dan bersedia membuat rakaman semula berkali-kali.

"Saya sangat komited menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Nona yang baru. Jadi, saya positif menerima pandangan, kritikan dan teguran membina daripada mana-mana pihak.

"Kepada produksi penerbitan dan penonton Nona, saya berterima kasih dengan teguran diberi. Saya akan berusaha memperbaikinya," kata Mira.

Masih aktif dalam bidang lakonan, pelakon drama Cinta Si Wedding Planner ini berkata dia juga tidak kisah perbandingan penonton terhadapnya dengan pengacara Nona yang terdahulu.

"Perbandingan pada saya satu lumrah yang harus diterima membabitkan pengacara baru dan lama. Tidak perlu cepat melatah.

"Seperti teguran dan kritikan untuk kelemahan saya dalam pengacaraan di terima dengan hati terbuka, tidak terkecuali perbandingan.

"Bagi saya, setiap pengacara itu ada kelebihan masing-masing yang tersendiri. Cuma, masa akan menentukan dan pengalaman yang membantu," katanya.

Sebelum ini bakat pengacaraan Mira dipersembahkan dalam program berkonsepkan majlis perkahwinan, Mahligai Cinta di TV3 sebanyak dua musim.

Namun, mulai 7 Januari lalu Mira muncul sebagai pengacara baru Nona menggantikan Uyaina Arshad.
Mira Filzah sedia terima kritikan Mira Filzah sedia terima kritikan  Reviewed by Kakigosip on 06:13:00 Rating: 5
Powered by Blogger.