Berita Terkini
recent

Maut dipatuk ular ketika memancing

Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipatuk ular tedung selar ketika sedang memancing di sungai blok 20 kebun kelapa sawit Felda Linggiu, petang semalam.

Mangsa, Jayalani Abu Samah, 45 ditemui tidak bernyawa kira-kira jam 9 malam tadi oleh adik dan anak saudara yang mencarinya di kebun berkenaan selepas tidak pulang ke rumah.

Adiknya, Mohammad Zaidi, 36 berkata, pada awalnya mereka menyangka abangnya itu meninggal akibat sakit asma sebelum menjumpai kesan gigitan ular dibawah telinga kiri mangsa.

Katanya, Allahyarham yang bekerja sebagai pemandu van kilang memang gemar keluar memancing di kebun seorang diri terutama pada hari cuti.

"Selalunya dia akan pulang pada jam 5 petang dan sebelum hari gelap bila keluar mancing. Sebaliknya semalam selepas keluar pada jam 2 petang sehingga jam 8 malam abang masih tak balik-balik.

"Mak yang mula khuatir menyuruh adik dan anak saudara keluar mencari abang sebelum menjumpai mayat abang berhampiran motosikalnya.

"Kemungkinan besar ketika dipatuk ular itu abang sudah bersiap-siap untuk balik kerana barangnya semua sudah dikemas. Abang memang ada sakit asma namun setiap kali keluar mancing dia akan bawa sekali ubat bersama,"katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, sebentar tadi.

Tambahnya, Allahyarham merupakan anak ke tiga dari 10 beradik belum berkahwin dan merupakan seorang anak serta abang yang baik bukan sahaja kepada keluarganya bahkan kepada penduduk di Felda berkenaan.

Katanya, diharap kejadian yang menimpa Allahyarham akan dijadikan ikhtibar kepada orang ramai agar lebih berwaspada terhadap haiwan berbisa itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, pihak polis menerima maklumat kejadian itu pada jam 10.30 malam membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang maut akibat dipatuk ular.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.