Mahu lanjut pelajaran

Tahun lalu, anggota kumpulan TFBoys, Karry Wang menduduki peperiksaan untuk melayakkannya bergelar pelajar sebuah kolej terkemuka di China.

Wang berkata, datuknya meminta dia memohon masuk ke kolej perubatan kerana kerjaya doktor dipandang tinggi dan menjamin masa depan.

Menurut Wang, datuk mungkin tidak tahu dia terkenal sebagai penyanyi dan pelakon.

Katanya, kejayaan bergelar pelajar Beijing Film Academy pada September lalu sudah cukup menggembirakan keluarganya.

“Saya sempat belajar selama dua bulan setengah sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan itu. Sejak menceburi bidang seni pada 2013, ini adalah kali pertama saya duduk lama di rumah.

“Tiga kali saya mengambil peperiksaan, markah setiap ujian tidak jauh berbeza. Sepanjang tempoh itu, saya sangat tertekan. Saya benar-benar ingin melanjutkan pelajaran,” katanya.

Wang meluahkan perasaan kecewa dan tertekan apabila rakan mempersendakan usahanya melakukan persiapan untuk menyambung pengajian di kolej.

Pada mata umum, mereka mungkin melihat Wang tidak melakukan apa-apa untuk meletakkan namanya sebaris selebriti Gred A.

Hakikatnya, jejaka itu selalu bekerja keras dalam setiap perkara yang dilakukannya.

“Saya ada berkongsi cerita dengan rakan sekelas tetapi dia melihat saya dengan pandangan pelik dan bertanya kenapa saya perlu menduduki ujian.

“Nama besar dalam industri hiburan bukan tiket untuk memohon masuk ke kolej tanpa mengikut prosedur.

“Apa yang saya perolehi pada hari ini adalah hasil kerja keras. Semuanya datang selepas gigih berusaha. Saya selalu tertekan kerana ingin menjadi yang terbaik,” kata remaja berusia 19 tahun itu.

Pada usia muda, Wang diangkat sebagai People’s Magazine 2017 Face kerana statusnya sebagai penyanyi dan pelakon popular, seorang pelajar serta diiktiraf sebagai tokoh masyarakat.

Wang terharu dengan penghargaan itu dan berjanji akan terus berusaha bagi memantapkan lagi karier seni dan mengekalkan kecemerlangannya dalam akademik.

“Terima kasih kerana memilih saya sebagai wajah People’s Magazine untuk 2017. Saya berharap ia membakar semangat remaja lain untuk terus berusaha menggapai impian.

“Gelaran tokoh masyarakat menjadikan saya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan. Apa saja yang saya lakukan harus menjadi teladan baik kepada orang lain.

“Sesiapa saja yang dianggap sebagai idola pasti mempunyai tanggungjawab besar. Dia bukan hanya perlu memberikan contoh baik tetapi juga mengekalkan reputasi tanpa sebarang cerita buruk,” katanya.

Filem berjudul Namiya lakonan Wang sedang ditayangkan di pawagam sejak 18 Januari lalu. Dia memegang watak Xiao Bo. Ia mengisahkan tiga anak yatim piatu yang tiba-tiba menerima sepucuk surat daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Namiya.

Selain Wang, pelakon lain yang menjadi penggerak utama cerita itu ialah Jackie Chan, Dilraba Dilmurat, Hao Lei, Qin Hao, Dong Zijian dan Lee Hong-Chi.
Mahu lanjut pelajaran Mahu lanjut pelajaran  Reviewed by Kakigosip on 06:14:00 Rating: 5
Powered by Blogger.