Berita Terkini
recent

Mahfuz jawab isu bai'ah, letak jawatan

Bekas pemimpin Pas, Datuk Mahfuz Omar berterima kasih kepada pihak yang mengingatkannya soal lafaz bai'ah dan mahu beliau meletak jawatan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Katanya, beliau amat memahami dan menginsafi bai'ah tersebut yang intipatinya janji taat setia dan patuh kepada jemaah dan pemimpin selama mana tindak-tanduknya selari dengan tuntutan ajaran Islam.

Menurutnya, keutamaan beliau kini adalah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran memimpin dan membimbing rakyat bagi  menamatkan pemerintahan Umno BN.

"Saya tidak perlu terjebak dalam polemik sebegini kerana cukup untuk saya mengatakan bahawa saya percaya ALLAH sentiasa memberi petunjuk dan jalan keluar selama mana kita berpegang kepada kebenaran.

"Cabaran yang lebih besar pada saya ialah jihad menyelamatkan Malaysia dari jatuh ke jurang kehancuran. Secara peribadi, saya berpendapat ini adalah kewajipan saya sebagai seorang muslim maka inilah keutamaan saya sekarang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz secara rasmi keluar Pas, pada jam 11.59 awal Januari, selepas 34 tahun menjadi ahli Pas.

Rentetan itu, Pas memberi peringatan mengenai lafaz baiah kepada Mahfuz Omar susulan tindakannya mengumumkan untuk meninggalkan parti Islam itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setiap wakil rakyat Pas yang melafazkan baiah terikat dengan tiga komponen utama sekiranya berhasrat untuk meninggalkan parti tersebut.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.