Berita Terkini
recent

Lucunya angsa disangka khinzir

PELAKON dan penyanyi, Maya Karin menjelaskan tidak marah terhadap netizen yang menuduh dia memasak daging khinzir malah merasakan isu itu melucukan.

Maya yang berdarah kacukan Jerman-Malaysia memuat naik gambar angsa yang sedia dipanggang untuk makan malam bersama keluarga di Instagram, minggu lalu.

Bagaimanapun, ada netizen menyangka hidangan itu adalah khinzir dan mula 'menyerang' ruang komennya dengan kata-kata yang kurang menyelesakan.

Menurut Maya, pada hari dia mengirim gambar itu dia berada di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam kerana melawat bapanya yang menetap di sana.

"Saya kelam kabut memuat naik gambar terbabit kerana tetamu sudah datang.

“Sejam kemudian, saya terkejut apabila membaca beberapa komen mendakwa saya memasak hidangan yang tidak halal," katanya dihubungi, hari ini.

Kata pelantun lagu Teka Teki itu, dia tidak perlu membuat sebarang penjelasan mahupun meminta maaf kerana berpendapat dirinya tidak melakukan kesalahan.

"Tiada apa-apa penjelasan yang perlu saya berikan mengenai gambar itu. Malah, ramai pengikut turut membantu menjernihkan keadaan dengan menjelaskan daging itu adalah seekor angsa," katanya.

Dalam pada itu, Maya berkata kejadian terbabit tidak menghalang dia untuk terus berkongsi gambar masakan di media sosial.

"Saya berharap isu terbabit menjadi pengajaran kepada pengguna media sosial supaya tidak cepat membuat andaian secara melulu tanpa menyelidik," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.