Berita Terkini
recent

Lelaki maut ketika cuba samun

Gara-gara cuba melakukan samun di sebuah kediaman di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, di sini, seorang lelaki akhirnya ditemui mati dipercayai akibat bergelut dengan mangsa yang merupakan penghuni rumah berkenaan.

Dalam kejadian jam 2.45 petang tadi, suspek berusia 32 tahun itu ditemui mati di tempat kejadian dengan kesan luka di belakang kepala kerana bergelut dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, makluman daripada orang awam memberitahu terdapat seorang lelaki yang cedera akibat disamun dan telah bergelut dengan seorang lagi lelaki di kediamannya.

"Kejadian bermula apabila suspek masuk ke rumah milik mangsa melalui tingkap tandas belakang bersebelahan dapur yang diumpil dari luar.

"Suspek kemudian memecahkan pintu bilik utama suspek dan terus mengugut dengan menggunakan pemutar skru supaya menyerahkan barang berharga milik mangsa yang ketika itu berada dalam bilik.

"Lelaki itu kemudian menggeledah bilik kedua dan ketiga dengan dipandu arah oleh mangsa yang dalam ketakutan kerana suspek bersenjatakan pemutar skru," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Shahurinain berkata, suspek kemudiannya memaksa mangsa untuk membukakan pintu belakang rumahnya bagi membolehkan dirinya meloloskan diri tetapi dihalang mangsa yang sempat mengambil satu pisau pemotong sayur di bahagian dapur.

“Daripada hasil siasatan, mangsa berjaya mencapai satu pisau pemotong sayur berukuran 22 sentimeter lalu terus bertindak mengarahkan suspek memulangkan semula barang miliknya.

"Bagaimanapun, suspek enggan memulangkan  semula barangan tersebut dan terus berlaku pergelutan mengakibatkan kedua-duanya mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, mayat suspek kemudiannya dihantar ke bilik mayat Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 9 pagi esok,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek memiliki 14 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.