Berita Terkini
recent

Konsert Dayang gah di Singapura

Hebat dan persembahan kelas tersendiri. Ini gambaran paling tepat buat Dayang Nurfaizah menerusi konsert Dayang Nurfaizah Esplanade yang berlangsung di Singapura pada 1 Januari lalu.

Sepanjang dua jam persembahan, penonton bukan saja terpukau dengan alunan gemersik suara emas penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, tetapi turut terhibur dengan gurau senda bersahaja Dayang di atas pentas.

Pengalaman lebih 20 tahun menjadi penyanyi digunakan sebaik-baiknya Dayang untuk menghiburkan 1,600 penonton yang datang dari merata tempat.

Lebih membanggakan, konsert sulung Dayang di negara itu ‘full house’ selepas semua tiket habis dijual beberapa bulan sebelum konsert berlangsung.

Segah namanya di Malaysia, begitu juga hebatnya Dayang di Singapura. Sebanyak 25 lagu yang dinyanyikan, tidak ada satu pun kedengaran sumbang. Dalam erti kata lain, nyanyian Dayang cukup sempurna.

Walaupun berkali-kali dia menyatakan rasa gementar, Dayang bagaimanapun sudah memberikan sebuah persembahan yang luar biasa.

Dayang yang juga pemenang Vokal Terbaik tiga kali berturut-turut pada Anugerah Juara Lagu (AJL) menzahirkan rasa syukur dan puas kerana dapat menyampaikan semua lagu dengan baik.


DAYANG buktikan kehebatan di pentas Esplanade. FOTO Indigital Music
“Dari awal sampai habis persembahan kebanyakannya lagu balada. Jadi, setiap lagu perlukan fokus dan penghayatan untuk disampaikan. Apabila penonton memberikan sorakan dan memberi maklum balas positif, saya lega serta puas hati.

“Memandangkan ini konsert sulung saya di Singapura, boleh dikatakan 90 peratus lagu yang dinyanyikan hasil pilihan peminat. Cuma, lagu ‘cover version’ saja saya pilih sendiri. Pastinya juga lagu ini antara yang mencabar untuk dinyanyikan.

“Begitu juga dengan rangkaian lagu Inggeris, ia adalah pilihan anak saudara saya, Yaya. Konsert yang berlangsung ini memberikan 1,001 kenangan manis untuk saya dan berharap ia meninggalkan detik indah buat semua peminat yang hadir,” katanya.

Menurut Dayang, perkara utama yang menjadi keutamaannya menjayakan konsert itu adalah pemilihan lagu.

Baginya, dia tidak mahu syok sendiri menyanyikan lagu yang jarang didengar atau kurang digemari penonton.

“Disebabkan itu, untuk konsert ini saya menyanyikan lagu yang dipilih peminat dan lagu yang jarang mereka dengar saya nyanyikan secara ‘live’. Kriteria kedua yang menjadi keutamaan adalah gubahan lagu perlu berbeza daripada sebelum ini.

“Walaupun ada lagu yang pernah saya nyanyikan, ia diberi sentuhan susunan muzik baru. Terakhir, demi kepuasan peminat yang datang. Alhamdulillah, maklum balas diberikan semuanya okey. Bagi saya, ia sudah cukup menggembirakan,” katanya.

Berkongsi mengenai susunan muzik yang dibuat Jenny Chin, Dayang berkata, ia kena dengan konsep persembahan yang bersahaja.


DAYANG puas nyanyi 25 lagu. FOTO Indigital Music
“Keseluruhan susunan lagu sangat okey. Gubahan muzik sederhana sebab saya nak setiap lagu masih kedengaran asli. Malah, saya kalau boleh nak setiap lagu disampaikan dekat dengan versi asal. Saya memang tak nak tukar banyak.

“Seperti sebelum ini di Dewan Filharmonik PETRONAS, saya memang tukar sepenuhnya supaya setiap lagu jadi lain. Tetapi pada konsert ini, saya ingin penonton merasai semula kembara muzik saya selama ini.

"Saya juga nak berterima kasih kepada pihak yang bekerjasama antaranya Naza Kia Malaysia yang sudi menaja kenderaan pihak media dari Malaysia," katanya ketika ditemui selepas persembahan.

Dayang yang tampil elegan dalam tiga persalinan rekaan Datuk Rizalman Ibrahim membuka tirai persembahan menerusi lagu ‘berhantunya’, Seandainya Masih Ada Cinta.

Diikuti dengan lagu Erti Hidup dan tiga lagu daripada album lama secara medley iaitu Kembalilah Sayang, Mana Mungkin dan Aku Rindu Aku Jemu.

Tidak ketinggalan Dayang menyanyikan tiga lagu ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan secara medley iaitu Hembusan Asmara, Hakikat Cinta dan Hujan Lagi Hati Ini.

Penonton juga terbuai dengan alunan vokal Dayang menerusi rangkaian lagu lama seperti Selamat Tinggal Bungaku, Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Fatwa Pujangga.

Melengkapkan seleksi lagu persembahan Dayang apabila dia turut menyanyikan lagu Di Pintu Syurga, Dayang Sayang Kamu, Separuh Mati Ku Bercinta, Dia, Layarlah Kembali, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung.


DAYANG bersama pemuzik konsert. FOTO Indigital Music
Teringin buat album lagu asli

Kejayaan konsert sulung di negara seberang tambak itu memungkinkan Dayang beraksi cemerlang di negara sendiri.

Ditanya mengenai perkara itu, Dayang terbuka sekiranya diberi peluang oleh mana-mana penganjur.

“Siapa yang tidak mahu menjayakan konsert berskala besar. Cuma peluang untuk saya belum datang. Mungkin pada masa akan datang. Kalau ada tawaran menarik, saya terima dengan terbuka,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangannya menghasilkan album lagu asli, Dayang juga sedia dan terbuka untuk merakamkan lagu berkenaan.

“Kalau boleh saya memang nak ada satu album asli. Sebelum ini sudah ada, tetapi ia lebih kepada album kontemporari. Saya sentiasa merancang perkara ini, jadi saya berharap ia menjadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.