Berita Terkini
recent

Konsert Dayang 'full house'

Lebih 1,500 penonton hadir menyaksikan konsert Dayang Nurfaizah Live in Singapore yang berlangsung di dewan Esplanade, Singapura, malam tadi.

Lebih membanggakan, konsert sulung Dayang di negara itu ‘full house’ selepas semua tiket konsert habis terjual.

Konsert yang berlangsung selama dua jam itu menyaksikan Dayang menyanyikan 25 lagu popular termasuk lagu daripada album terbarunya yang dilancarkan tahun lalu.

Dayang yang juga pemenang kategori Vokal Terbaik tiga kali berturut-turut pada Anugerah Juara Lagu (AJL) berkata, konsert itu berjaya atas sokongan peminat.

“Saya berada di sini atas permintaan peminat. Disebabkan mereka juga, saya berjaya merealisasikan konsert ini. Apa saya boleh katakan, konsert ini adalah kembara muzik saya sepanjang lebih 20 tahun berada dalam industri muzik tanah air.

“Sejujurnya, pada malam ini saya berasa gementar dan terharu dengan sambutan diberikan. Saya berharap konsert ini meninggalkan kenangan yang mendalam untuk semua yang hadir.

“Terima kasih kepada semua rakan media dan peminat yang memilih meraikan tahun baru ini bersama saya. Terima kasih juga kerana memberikan saya semangat sepanjang persembahan,” katanya.

Istimewanya, kebanyakan lagu yang dinyanyikan pada konsert itu adalah permintaan daripada peminat.

Dayang yang tampil elegan dalam busana rekaan Datuk Rizalman Ibrahim membuka tirai persembahan menerusi lagu ‘berhantunya’, Seandainya Masih Ada Cinta.

Diikuti dengan lagu Erti Hidup serta tiga lagu dari album lama secara medley iaitu Kembalilah Sayang, Mana Mungkin dan Aku Rindu Aku Jemu.

Tidak ketinggalan Dayang menyanyikan empat lagu ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan secara medley serta rangkaian lagu lama seperti Selamat Tinggal Bungaku, Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Fatwa Pujangga.

Melengkapkan seleksi lagu persembahan Dayang apabila dia turut menyanyikan lagu Di Pintu Syurga, Dayang Sayang Kamu, Separuh Mati Ku Bercinta, Dia, Layarlah Kembali, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.