Berita Terkini
recent

‘KL Wangan: Bikin Gempak’, Gempak Separuh Masak

MELIHAT kepada slogan iklan (tagline) pada poster filem KL Wangan: Bikin Gempak atau ringkasannya, KL Wangan, penulis tidak dapat menolak persepsi bahawa ia akan menjadi sebuah lagi filem aksi klise berkisarkan tentang perlumbaan kereta.

Sementelah, filem yang mengangkat latar belakang dunia berkenaan pernah menjadi subjek penceritaan lebih sedekad lalu walaupun pendekatannya berbeza. Antara yang diingati pastinya Impak Maksima (2007), Evolusi KL Drift (2008) dan sekuelnya, Evolusi KL Drift 2 (2010).

Justeru, apakah KL Wangan yang diarahkan oleh bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28, Pekin Ibrahim ini menawarkan satu pembaharuan sekaligus mengangkat karya sebegini ke peringkat lebih tinggi?

Dari sudut positifnya, penulis yang berpeluang menonton KL Wangan beberapa hari lalu harus mengatakan bahawa dari aspek teknikalnya terutama sinematografi dan suntingan, KL Wangan memiliki elemen itu walaupun tidak sempurna.

Sudah pasti, untuk filem aksi seperti ini, elemen tersebut memang wajar dititik beratkan. Mengenali hasil kerja bekas pemenang Sinematografi Terbaik FFM sebanyak tiga kali, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin memang jarang mengecewakan dan beliau juga sudah melakukan yang terbaik untuk KL Wangan.

Pun begitu, seperti mana majoriti filem tempatan lain, masalah besar KL Wangan terletak kepada cerita dan lakon layar yang tidak kemas dan tiada pembaharuan yang dibanggakan.

Disebabkan itu, teknik suntingannya telah ‘menyelamatkan’ KL Wangan daripada terus menjadi sebuah karya yang hambar dan tidak memiliki momentum seperti mana yang perlu ada untuk filem aksi seperti ini.

Berbalik kepada cerita KL Wangan yang penulis sifatkan mendatar dan satu dimensi, penulis meletakkan harapan untuk melihat Pekin memberikan sesuatu yang berbeza kepada khalayak secara total.

Ditambah pula apabila penulis melihat Pekin memiliki pemikiran yang bukan tipikal sebagai seorang pengkarya selepas kejayaan filem arahan pertamanya bersama Syafiq Yusof iaitu Mat Moto (2016), sudah pasti penulis mengharapkan KL Wangan akan menjadi sebuah filem yang lebih baik.



Namun, disebabkan kelemahan cerita dan lakon layar yang kurang memberangsangkan, maka, KL Wangan tidak ubah menjadi sebuah filem yang gempaknya hanyalah separa masak.

Jauh sekali untuk meletakkan KL Wangan setaraf dengan francais The Fast and the Furious kerana penulis selalu berpijak di bumi nyata tetapi sekurang-kurangnya cerita KL Wangan itu seharusnya kukuh terlebih dahulu.

Barangkali pemikiran Pekin sebagai penulis dan pengarah filem ini bahawa cerita tidak perlu difokuskan terlalu mendalam kerana akhirnya, penonton tempatan hanya mahu berhibur.

Tidak dinafikan, KL Wangan mampu menjadi hebat seandainya watak Hong (lakonan Kazuto Soon) itu dikembangkan sebagai mentor dan guru kepada Ejay (Pekin) untuk membentuk Ejay menjadi seorang pelumba kereta handalan.

Sebaliknya, yang diungkapkan hanyalah daripada dialog yang berulang kali. Meskipun watak Ejay digambarkan sebagai seorang yang baik dan asalnya hanya seorang pemandu teksi serta tidak menunjukkan minat terlalu mendalam terhadap perlumbaan kereta, tetapi, jika dengan olahan dan pemikiran di luar kotak, watak Ejay itu sendiri boleh menjadi watak yang hebat.

Ibaratnya seperti pepatah Inggeris yang berbunyi from zero to hero yang boleh diberikan kepada Ejay jika wataknya dikembangkan dari sudut positif. Mungkin Pekin terlalu fokus dengan kerja pengarahan menyebabkan lakonannya kali ini hanya sekadar biasa sahaja.

Begitu juga dengan konflik antara Hong dan anak perempuannya, Olivia (Emily Lim) yang juga sebenarnya boleh diteroka dengan sesuatu yang di luar jangkaan terutama dalam mengembangkan watak Olivia itu sendiri.



Mengapa tidak menjadikan Olivia sebagai pemandu wanita dan dibimbing oleh bapanya sendiri dan berpasangan dengan Ejay dalam misi membalas dendam mereka terhadap kematian ibu Olivia?

Akhirnya watak Olivia itu hanyalah sekadar tempelan dan tidak memberikan sebarang kesan terhadap perjalanan cerita KL Wangan.

Untuk menghasilkan filem seperti ini, keberanian itu perlu ada untuk memberikan perspektif berbeza kepada penonton.

Keberanian itu tidak hanya terletak kepada peruntukan besar untuk memusnahkan kereta semata-mata. Lebih menarik dan kemas jika ada keseimbangan antara kedua-duanya.

Masalah juga terletak kepada garis masa penceritaan KL Wangan yang ada ketikanya mengelirukan kerana terlalu banyak adegan imbas semula yang akhirnya dipermudahkan dengan cerita imbasan ke hadapan (flash forward) untuk memberi bayangan bahawa KL Wangan akan ada susulannya (mungkin menjadi francais juga).

Menyentuh tentang lakonan Faizal Hussein pula, watak Yudi itu juga ada kelompongannya dan membuatkan penulis berfikir seketika apakah seorang kaki botol tegar seperti yang digambarkan itu benar-benar wujud?



Ini kerana untuk Yudi memandu sehebat itu setiap kali selepas menikmati arak adalah sesuatu yang seharusnya dipersoalkan. Bukankah peminum tegar seperti itu tidak berada dalam keadaan waras yang membolehkannya memandu?

Tetapi lainnya pula dengan Yudi yang nampaknya begitu waras memandu seperti pelumba Formula 1 selepas meneguk arak dan dengan pantas, matanya segar-bugar  berbanding keadaan dirinya sebelum perlumbaan.

Walaupun Faizal juga adalah bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik FFM, tetapi mutu lakonannya dalam KL Wangan tidak berada dalam standard yang diharapkan.

Penulis percaya masih ada ruang buat Pekin untuk memperbaiki dirinya sebagai seorang aktor, pengarah dan pencerita kerana pemilik nama Mohd. Iznan Ibrahim ini ada sesuatu yang tersembunyi di dalam dirinya yang boleh terus digilap.



www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.