Berita Terkini
recent

Kisah survival dua individu di pergunungan salji

BARANGKALI gandingan dua nama hebat di arena perfileman Hollywood, Kate Winslet dan Idris Elba memberi aura berbeza terhadap filem yang baru menjengah pawagam sejak 28 Disember lalu.

Hakikatnya, bukan suatu tugas mudah buat pengarahnya untuk memastikan penonton melekat di tempat duduk apabila para pelakon yang mendominasi latar cerita hanyalah dua individu saja.

Filem The Mountain Between Us merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada novel terbitan 2011 dengan tajuk sama tulisan Charles Martin.

Secara dasarnya, filem ini mengisahkan mengenai dua individu daripada latar berbeza yang terkandas di sebuah kawasan pergunungan selepas terlibat dalam nahas pesawat.

Pemenang anugerah Oscar, Kate Winslet berlakon sebagai wartawan, sementara Elba pula digambarkan sebagai seorang pakar bedah yang mahu bergegas untuk bertemu pesakitnya yang memerlukan pembedahan segera.

Lalu, mereka ‘dipertemukan’ di dalam sebuah pesawat kecil sebelum pengangkutan udara itu terhempas selepas pemandunya mengalami serangan angin ahmar secara tiba-tiba.

Dari situlah, pelbagai drama berlaku di antara keduanya apatah lagi apabila terkandas di kawasan pergunungan bersalji yang terpencil. Lalu, kedua-duanya cuba meneruskan kehidupan dalam situasi cuaca dan kondisi yang serba kekurangan.


Mengulas mengenai di sebalik pembikinan filem yang berjalan di Banjaran Rocky, Kanada itu. Kate tidak menafikan sepanjang berada di set penggambaran, ia merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

“Wow... sungguh menguji kesabaran. Apatah lagi apabila terpaksa melakukan adegan lemas di dalam air yang sangat sejuk. Lebih sejuk berbanding ketika saya beraksi menerusi filem Titanic. Tambah dengan cuacanya lagi. Jadi kami terpaksa untuk menjaga dan membantu di antara satu sama lain,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah temu bual.


Bagaimanapun, aktres versatil itu menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang untuk berlakon bersama produksi Kanada yang profesional dan memberi kerjasama baik sepanjang tempoh penggambaran.

“Malah, saya juga ada berkongsi pengalaman berlakon dalam set yang sejuk kepada Leo (Leonardo DiCaprio). Kami memang sering berkongsi dan saya ada kirimkan gambar ketika di kawasan pergunungan kepadanya. Dia terkejut dan berikan saya beberapa panduan. Apa pun, saya tidak boleh bandingkan situasi saya di The Mountain Between Us dan The Revenant,” katanya.

Sementara itu, rata-rata penonton setakat ini memberikan maklum balas berbeza. Ada yang suka dan tidak kurang yang mengatakan filem arahan pengarah Palestin itu agak membosankan.

Persepsi tersebut mungkin disebabkan oleh babak klise apabila dua individu terperangkap di kawasan terpencil lalu berusaha untuk mencari pertolongan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.