Kejutan lucu AAC2

Pernah mencetus fenomena pada 2008 dengan jumlah tontonan lebih 3.5 juta di Indonesia dan turut mendapat perhatian di Malaysia, kini muncul sekuelnya, Ayat-ayat Cinta 2 (AAC2) selepas 10 tahun.

Filem arahan Guntur Soehardjanto yang diangkat daripada novel karya Habiburrahman El Shirazy ini mula ditayangkan di pawagam tanah air sejak 11 Januari lalu, manakala di Indonesia 21 Disember tahun lalu dan ditonton lebih 3 juta orang.

Bagaimana pula sambutannya di Malaysia? Difahamkan, filem edaran Antenna Entertainment Sdn Bhd ini makin mendapat perhatian dengan kutipan RM1.56 juta untuk tayangan selama seminggu.

Pengarah Urusan Antenna Entertainment, Liza Hussein akui sambutan awalnya hambar tetapi kini makin rancak dan berharap kutipannya lebih baik lagi untuk minggu kedua.

“Ini filem Indonesia keempat yang kami edarkan di sini selepas Rudy Habibie, Syurga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2) dan Ghost Danur.

“Kami akui kejayaan filem pertama menarik minat kami untuk membawa AAC2 ke Malaysia dan gembira dengan sambutan diterima,” katanya.

AAC2 masih berkisarkan cinta dan pengorbanan melalui watak Fahri lakonan Fedi Nuril, lelaki yang taat pada agama dan begitu lurus tetapi tiada lagi kelibat Rianti Cartwright (Aisha), Carissa Putri (Maria) dan Zaskia Adya Mecca (Noura).

Dewi Sandra dipertanggungjawabkan menggalas watak Aisha atau Sabina, di samping karakter baru yang dibawakan Tatjana Saphira (Hulya) dan Chelsea Islan (Keira).

Kalau filem pertama Fahri melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Al-Azhar, Mesir, kali ini Fahri menjadi pensyarah di Universiti Edinburgh di Scotland. Dia juga berjaya dalam kehidupan sebagai ahli perniagaan dengan memiliki rangkaian kedai yang diusahakan bersama isterinya, Aisha.

Kali ini Fahri berhadapan cabaran ‘Islamophobia’ yang muncul di negara Barat dan paparkan bagaimana seharusnya seorang Muslim menangani fobia tersebut.

Kisah bermula dengan Fahri ‘kehilangan’ Aisha selepas tragedi letupan bom ketika menjadi sukarelawan di Palestin tetapi Fahri sentiasa berdoa dan berharap Aisha kembali kepadanya.

Kehidupan berjaya di negara orang tidak mengubah diri Fahri, sebaliknya tetap memegang teguh prinsipnya yang sentiasa suka menolong tanpa mengharap bantuan.

Fahri melayan jirannya dengan baik meskipun mereka membencinya seperti keluarga Keira (Chelsea Islan) yang berdendam dengan orang Islam kerana bapanya meninggal dalam tragedi bom di London.

Wanita tua Yahudi, Madam Katrina (Dewi Irawan) yang sering mencurigainya tetapi tetap membantunya menghantar ke gereja dan menyelamatkannya daripada anak tirinya yang jahat.

Sebagaimana filem pertama, ramai wanita tertarik dengan Fahri terutama pelajarnya begitu juga isu poligami. Cuma pengakhiran cerita mengejutkan sedikit, sekali gus mencetuskan rasa lucu apabila dipaparkan pembedahan menukarkan wajah dua watak.

Terus teringat filem Hollywood, Face Off lakonan John Travolta dan Nicolas Cage yang mendapat perhatian pada 1997. Kisah Sean Archer dan Castor Troy bertukar wajah selepas melakukan pembedahan mungkin dapat diterima kerana ia filem genre aksi, jenayah, sci-fi dan thriller.

Sebaliknya, apabila babak ini dipaparkan dalam filem Indonesia genre drama dan Islamik, agak sukar diterima.

Pengalaman menonton filem ini pada hari kedua tayangannya minggu lalu, kedengaran sekumpulan penonton ketawa seolah-olah menyaksikan babak lucu. Ketika keluar panggung pun ia masih menjadi bahan ketawa mereka.

Selepas babak menyentuh perasaan apabila Fahri bertemu semula dengan Aisha yang selama ini disangka mati, tiba-tiba dikejutkan dengan babak menukarkan wajah Hulya kepada Aisha.

Lain-lain cukup sempurna dari segi penceritaan dan mesejnya yang sungguh utuh, sinematografi serta pemilihan barisan pelakonnya.
Kejutan lucu AAC2 Kejutan lucu AAC2 Reviewed by Kakigosip on 06:19:00 Rating: 5
Powered by Blogger.