Keindahan & Kesegaran ‘Busker’ Dalam Dunia Remaja Millennial

WALAUPUN usia penulis bukan lagi dalam lingkungan remaja, namun, sebagai penonton filem tegar, filem yang mengambil kisah tentang dunia remaja bukanlah satu penolakan buat penulis.

Sebaliknya, penulis mahu melihat sejauh manakah evolusi dan perkembangan filem berkisarkan remaja ini dipersembahkan dalam alaf baharu ini.

Apakah kita mahu terus terpuruk dalam nostalgia menerusi filem-filem klasik remaja popular yang antaranya Ali Setan (1985), Gila-Gila Remaja (1985) dan Azura (1984) yang sudah berjuta kali ditayangkan di kaca televisyen?

Memang tidak dinafikan, kekuatan filem-filem klasik yang penulis sebutkan itu sangat kuat elemen nostalgianya tetapi seiring dengan perkembangan dunia semasa, penulis percaya penceritaan tentang dunia remaja juga ada perubahannya.

Sehubungan itu, apabila filem Busker arahan Syed Khairul Fariz menjadi filem pertama yang membuka kalendar filem tempatan untuk 2018, penulis percaya ia memberikan sesuatu yang tidak akan mengecewakan walaupun hanya menonton sedutan filemnya sahaja.


Apatah lagi, filem yang mengenengahkan tentang kisah hidup penyanyi jalanan atau terma popularnya, buskers amat jarang dipersembahkan dalam filem tempatan.

Kali terakhir dan seingat penulis adalah filem Balada Pencinta arahan Khir Rahman yang ditayangkan pada tahun 2013.

Namun, filem tentang penyanyi jalanan yang paling diingati sehingga ke hari ini kerana kritikan sosialnya adalah Kembara Seniman Jalanan (1986) arahan Nasir Jani yang dibintangi Datuk M. Nasir, Datuk Khadijah Ibrahim dan Pyan Habib.

Berbalik kepada filem Busker yang memulakan tayangannya pada 11 Januari lalu, penulis meletakkan Busker sebagai sebuah karya yang menepati piawaian dunia remaja zaman millennial.

Dalam erti kata lain, cerita yang dipersembahkan dalam Busker semuanya adalah tentang kehidupan dunia remaja hari ini dan atas faktor itu, penulis mengkategorikan Busker sebagai sebuah filem yang menghiburkan.


Malah, naskhah yang mendapat sentuhan lima orang penulis termasuk Khairul Nizam Ablah selaku pencerita asalnya tidak mengecewakan.

Penulis harus katakan bahawa lakon layar Busker diolah dan digarap dengan keindahan tersendiri. Walaupun usia penulis bukan dalam lingkungan remaja, tetapi persembahan cerita Busker telah membuatkan penulis cukup memahami permasalahan dan konflik yang berlaku dalam dunia remaja masa kini.

Lakon layarnya yang bergerak secara linear tanpa perlu membuatkan penonton terpinga-pinga mahupun rasa ketinggalan atau keliru dengan konflik mahupun watak-watak dalam filem ini.

Hampir setiap adegan Busker semuanya tepat mengenai sasaran tanpa perlu membuang masa dengan subplot dan konflik yang tidak perlu untuk melengkapkan ia sebagai sebuah filem yang terus memaku audiens di tempat duduk.

Busker tidak hanya menumpukan kepada kisah cinta Adil (lakonan Hafeez Mikhail) dan Vera (Daiyan Trisha) tetapi ia memiliki keseimbangan dalam penceritaannya terhadap jiwa dan konflik dalaman remaja hari ini dalam menentukan hala tuju hidup mereka di kemudian hari.


Jika naskhah di kaca televisyen tatkala ini yang sudah terlalu banyak dilambakkan dengan cerita cinta yang berlegar dalam suasana yang serupa, tetapi tidak untuk Busker kerana naskhah ini juga cuba untuk melihat dari sudut perspektif yang berbeza.

Filem Busker bukan filem remaja tipikal yang penuh dengan madah cinta dan bahasa berbunga-bunga. Hubungan cinta antara Adil dan Vera tidak perlu menerusi kata-kata cinta dan bersentuhan tanpa batas tetapi semuanya adalah dengan muzik, lagu, lirik dan minat mereka yang hampir serupa.

Dari satu sudut lain pula, milieu filem ini juga membuatkan Busker kelihatan begitu realistik dan relevan lalu menjadikan Busker sebagai karya yang segar.

Kesegaran yang diterapkan dalam Busker secara tidak langsung mengingatkan penulis kepada filem cereka arahan Bernard Chauly, Gol & Gincu (2005) yang sehingga ini menjadi salah sebuah filem kegemaran penulis.

Barangkali elemen segar itu ada kaitannya juga dengan pemilihan lokasi di sekitar Bandaraya Johor Bahru yang jarang sekali diketengahkan.


Apatah lagi, Busker mendapat sentuhan bekas calon Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia Ke – 27 (2015), Tan Teck Zee yang telah memberikan warna yang positif untuk filem ini terus bergerak lancar.

Nilai tambah kesegaran Busker juga turut berkait rapat dengan skor muzik dan runut bunyi yang mencerminkan jiwa sebenar filem ini dan menyuntik elemen baharu dalam menterjemahkan status pemuzik jalanan itu sendiri.

Justeru, sekalung tahniah harus diberikan kepada Loque selaku pencipta skor muzik dan lagu yang memberikan nyawa kepada Busker untuk terus hidup sehingga ke garis penamat.

Menyentuh tentang aspek lakonan pula, penulis harus memberikan kredit kepada Astro Shaw dan Tayangan Unggul selaku penerbit kerana telah memilih barisan pelakon muda yang tepat dalam membawakan watak masing-masing walaupun mereka bukanlah pelakon yang memiliki jutaan pengikut di laman sosial.

Disebabkan faktor itu jugalah, ia telah memberikan impak positif kepada Busker kerana tiada satu pun di antara pelakon yang membintangi filem ini kelihatan canggung mahupun untuk membayangi sesama mereka.
image:

Pun begitu, dengan status mereka sebagai pelakon muda, mutu lakonan mereka masih belum masak sepenuhnya dan mampu untuk terus digilap seandainya masing-masing terus diberikan peluang dalam meneroka bakat lakonan mereka.

Penulis percaya watak Adil itu sendiri adalah refleksi kepada watak seorang lelaki muda yang jiwanya kental tetapi rapuh apabila gagal dalam percintaan dan hanya dengan muzik sahaja yang dapat mengubati jiwanya itu.

Sementara itu, penulis melihat ada sesuatu yang positif yang cuba dipaparkan menerusi watak Vera yang menggambarkan kecekalan seorang gadis remaja moden hari ini dalam berhadapan dengan pelbagai ujian dalam kehidupannya.

Malah, Vera juga digambarkan sebagai seorang yang positif walaupun menempuhi konflik percintaan yang tidak mudah menghanyutkan dirinya selain memiliki pendirian dan prinsip hidup demi kebaikan dirinya.

Seperti mana penulis sukakan wataknya dalam filem CEO (2014), begitu juga dengan persembahan Anas Ridzuan sebagai Ucop dalam Busker. Kehadirannya juga telah mengimbangi dan memberikan suntikan humor bagi memastikan Busker tidak menjadi terlalu melankolik.
image:

Begitu juga dengan watak Daniel (Mas Khan) yang begitu menjengkilkan sehinggakan melihat wajahnya di skrin membuatkan penulis berasa meluat lalu membuktikan lakonan bekas calon Pelakon Baharu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-28 (2016) itu meninggalkan impak walaupun sekadar pelakon pembantu.

Cuma, sayangnya, sesuatu yang kurang dirasai oleh penulis dalam Busker adalah elemen persahabatan itu yang sebenarnya mampu membentuk Busker menjadi sebuah jenama yang kuat sebagaimana impak daripada Gol & Gincu dan Kami The Movie (2008).

Tetapi, penulis faham situasi berkenaan kerana titik fokus Busker adalah cerita cinta tentang Adil dan Vera. Sehubungan itu, penulis skrip dan lakon layar filem ini tidak mahu ceritanya menjadi berkecamuk dan tiada hala tuju.

Penulis hanya berharap agar Busker diberikan ruang untuk terus bernafas di pawagam tempatan kerana agak mengejutkan slot tayangan sudah dipendekkan sehingga ada pawagam hanya menayangkan Busker cuma satu slot sehari sahaja dalam tempoh kurang daripada seminggu tayangannya.



Keindahan & Kesegaran ‘Busker’ Dalam Dunia Remaja Millennial Keindahan & Kesegaran ‘Busker’ Dalam Dunia Remaja Millennial Reviewed by Kakigosip on 07:38:00 Rating: 5
Powered by Blogger.