Berita Terkini
recent

'Kami pun mahu disayangi'

PENYANYI dan pelakon Ieda Moin, 38, meminta masyarakat bersikap adil agar tidak terus memandang negatif terhadap wanita berstatus ibu tunggal sepertinya.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, turut kesal dengan sikap segelintir pihak yang sewenang-wenangnya mengaitkan mereka dengan perkara negatif.

"Tidak kira sama ada artis atau orang biasa, kami juga mahu hidup bahagia dan disayangi oleh insan bergelar suami. Saya pun bukan minta jadi begini.

"Bagaimanapun amat menyedihkan kerana apabila ada lelaki mengenali saya, mereka terus ditekan dengan pelbagai hasutan oleh masyarakat sekeliling.

"Apa yang buat mereka tidak puas hati sedangkan saya tidak pernah mengganggu mereka atau meminta wang mereka," katanya kepada Harian Metro.

Ieda berkahwin dengan Mohd Naquib pada 4 November 2006 dan dikurniakan anak, Nur Dhia Dania yang kini berusia 10 tahun.

Pasangan ini kemudiannya bercerai talak satu pada 18 Disember 2014.

Ieda yang popular dengan lagu Kau Yang Ku Sayang, berduet dengan adiknya Eddy, berkata, dia kecewa kerana apabila berkawan dan mengenali seseorang lelaki, timbul tanggapan matlamatnya mencari kesenangan.

"Saya tidak pernah terfikir untuk ambil kesempatan terhadap lelaki yang dikenali. Tidak dinafikan ada lelaki bujang yang bekerja bagus serta golongan kenamaan yang cuba memikat saya tetapi itu bukanlah yang dicari.

"Sebenarnya saya lebih pentingkan hati budi dan kasih sayang yang dicurahkan oleh lelaki itu. Jujur saya katakan tidak akan minta sebarang hantaran daripada lelaki itu kerana saya pun mampu menanggung hidup sendiri. Cukuplah sekadar dengan mas kahwin.

"Saya tidak pernah terfikir nak menumpang kesenangan suami nanti. Sekali lagi jangan pandang rendah pada golongan ibu tunggal seperti saya," katanya.

Menurut Ieda, ayahnya amat berharap agar dirinya segera berkahwin dan sebagai anak, dia cuba memenuhi permintaan ini.

"Saya kata kepada ayah ini semua ketentuan Allah SWT. Bagaimanapun saya sendiri meletakkan sasaran, untuk kahwin dengan sesiapa sahaja, kalau ada jodoh pada tahun ini.

"Saya pun tidak letakkan apa-apa syarat kepada bakal suami kerana saya seorang yang berdikari. Cukuplah jika dia dapat berikan kasih sayang buat saya dan Dania kerana itu sudah memadai.

"Saya hairan dengan mentaliti sebilangan masyarakat yang bersikap kolot fikir ibu tunggal seperti saya ada kepentingan terhadap lelaki yang dikenali," katanya.

Dalam pada itu, Ieda gembira kerana rezekinya untuk tahun 2018 semakin murah. Dia juga berjaya menurunkan berat badannya bagi memenuhi watak yang diberikan.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada penerbit dan pengarah yang berikan kepercayaan buat saya terbabit dalam program mereka.

"Dalam lakonan, saya lebih senang ikut kehendak pengarah. Jika mereka nak saya berlakon watak orang gemuk, saya akan ikut.

"Untuk drama terbaru, saya kena melakonkan watak orang kurus dan saya berjaya menurunkan berat badan daripada 64 kilogram kepada 57.4 kilogram dalam masa dua minggu," katanya yang mendapatkan rawatan di sebuah pusat kesihatan khas.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.