Berita Terkini
recent

Kamal Adli teruja jadi hos program lawak

SELEPAS merangkul gelaran juara dalam program Super Spontan Superstar 2017, pelakon dan pengacara Kamal Adli dilihat semakin serasi dengan program-program komedi, malah ia dibuktikan dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminatnya.

Terbaru, Kamal bakal tampil sebagai hos program Gegar Lawak yang akan membuka tirainya pada 19 Januari ini, bergandingan dengan Fad Bocey.

Menyifatkan ia sebagai satu peluang yang tidak harus dilepaskan, Kamal mengakui mahu menimba pengalaman baru dalam bidang yang bukan menjadi kelebihannya selama ini.

“Memang sebelum ini, saya pernah bergelar pengacara untuk beberapa program TV, tapi untuk program lawak seperti ini, ia pertama kali buat saya.

“Saya teruja untuk buat program ini dan dalam masa yang sama, cukup berterima kasih kepada Astro yang memberikan kepercayaan dan peluang kepada saya untuk buat program lawak walaupun jelas saya bukan seorang pelawak.

“Saya cuba buat yang terbaik, namun saya harap orang tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana saya masih baru dalam bidang ini,” ujar Kamal jujur.

Menyentuh gandingannya dengan Fad Bocey, Kamal menyifatkan ia sebagai satu kelebihan buat dirinya yang sebelum ini sudah biasa bekerjasama dengan pelawak tersebut sepanjang terlibat dengan Super Spontan Superstar. 

“Untuk program ini, saya tidak akan buat lawak kerana saya bukanlah seorang pelawak, malah tidak ada kemahiran itu.

“Jadi bahagian melawak itu biarlah Fad yang tanganinya.

"Sementara saya akan mengacara dengan gaya penyampaian spontan yang menjadi kelebihan saya sebelum ini.

“Jadi saya percaya gandingan kami akan jadi lebih seimbang, apatah lagi keserasian saya dengan Fad memang telah sedia ada semenjak kami bergandingan dalam program Super Spontan lagi,” tegas Kamal yang turut tampil dengan sitkom Pecah Perut di Astro Warna.

Biarpun ramai peminatnya yang menyenangi Kamal bergiat aktif dalam bidang komedi, hero drama Duda Pujaan Dara ini mengakui cuba untuk tidak terlalu menonjol dalam bidang ini.

“Saya seorang pelakon dan kalau boleh saya mahu terus memberi keutamaan kepada kerjaya saya dalam bidang lakonan.

“Bukan bermaksud saya tidak mahu buat komedi langsung apatah lagi tidak menghargai sokongan peminat, tetapi buat masa ini, biarlah saya memperlahankan sedikit penglibatan saya dalam bidang komedi agar orang tidak lupa yang saya sebenarnya seorang pelakon.

“Alhamdulillah, selesai sahaja program Super Spontan baru-baru ini, saya terus masuk ke lokasi penggambaran filem, Escape, dan selepas Gegar Lawak pula saya akan memulakan penggambaran untuk filem terbaru saya, Zaara, selain terlibat projek mega drama terbitan Astro selepas ini,” jelas Kamal ketika ditemui di Sidang Media Program Gegar Lawak.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.