Berita Terkini
recent

'Jiwa saya kosong...'

“JIWA saya kosong selepas kematian ibu. Selama ini, arwah adalah sumber kekuatan terhadap perjuangan seni saya, tetapi hari ini, segala-galanya sudah melayang.”

Demikian luahan pelakon, Zul Ariffin selepas kehilangan ibu tercinta, Robiah Nasir, 66, akibat serangan jantung pada 5 Disember lalu.

Zul berkata, sehingga hari ini dia masih terbayangkan wajah ibunya yang selama ini menjadi penguat semangat untuk terus berjuang dalam industri seni.

“Sejak arwah tiada, saya langsung tidak boleh lelapkan mata. Pejam saja mata, pasti terbayang wajahnya.

“Di hadapan orang, saya mungkin masih boleh tersenyum dan tenang, sebaliknya jauh di sudut hati, hanya Tuhan saja yang tahu. Jiwa saya memang tidak tentu arah ketika ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat berada di sisi arwah ibunya dan menunaikan hajat untuk menunaikan ibadah umrah.

“Barangkali saya sukar tidur lena kerana menyimpan rasa terkilan apabila tidak sempat bersama arwah pada saat dia menghembuskan nafas terakhir. Ketika saya tiba, arwah sudah ‘tutup mata’. Ia sangat memberi kesan pada jiwa saya,” katanya.

Dia berkata, mujur sempat berbual panjang dan keluar bersama arwah beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Entah mengapa saya tergerak hati untuk memohon maaf dan memberitahu perancangan mengajaknya bercuti ke Dubai, seterusnya menunaikan umrah di Makkah, bulan depan.

“Saya lihat arwah gembira namun tak sangka, itu pertemuan terakhir kami. Hasrat saya mahu membawa ibu ke Dubai dan menunaikan umrah tidak kesampaian.

"Pun begitu, saya terbang juga ke Dubai untuk membawa hati dengan ditemani abang angkat dan keluarganya. Insya-Allah, bulan depan saya menunaikan umrah,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, peminat dikejutkan dengan berita pemergian ibu Zul melalui status dimuat naik kelab peminat aktor itu, Zul Ariffin FC di laman Instagram.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.