Berita Terkini
recent

Isu Memali: Dr Asri perlu lebih teliti

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dinasihati merujuk Peristiwa Memali 1985 secara mendalam dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguriskan hati mangsa dan waris peristiwa itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tragedi Memali 1985, Datuk Muhammad Yusuf Husain berkata, Dr Asri perlu meneliti kes itu secara teliti dan bukan hanya bersandar kepada fakta Tun Dr Mahathir Mohamad semata-mata.


"Bukan hanya beliau, tetapi siapa sahaja yang mahu mempersoalkan peristiwa Memali perlulah dapat gambaran sebenar terutamanya daripada mangsa masih hidup.

"Kami melalui pengalaman yang begitu pahit. Kami ditindas, dizalimi dan dilakukan pelbagai perkara, sama ada dalam bentuk fizikal ataupun mental," katanya ketika mengulas kenyataan Dr Asri yang bersetuju Amanat Hadi berbahaya, di kediamannya Kampung Memali, hari ini.

Menurutnya, kenyataan yang mengaitkan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan peristiwa itu tidak wajar dikeluarkan seorang ilmuan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Kedah berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup menyalahkan mufti berhubung tragedi itu kerana tidak dapat menerima hakikat atas kesalahan pernah dilakukan.


"Mahathir sampai hari ini tiada keinsafan dan kesedaran, beliau sanggup menyalahkan mufti kerana tidak dapat menerima apa yang pernah dilakukan.

"Pembunuhan penduduk dan ulama dalam tragedi itu bukan kerana amanat haji Hadi, tetapi atas arahannya dan Menteri Dalam Negeri ketika itu," katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.