Isu kesihatan mental artis

Baru-baru ini, industri hiburan dikejutkan dengan insiden Datuk Farid Kamil didakwa menyerang polis dan orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Adik Farid, Fadzil Zahari dipetik sebagai berkata, abangnya itu mungkin mempunyai masalah psikologi.

Sebelum ini, pelakon Iqram Dinzly turut dikaitkan mengalami masalah psikologi berikutan kelakuan peliknya dalam video dimuat naik di Instagram hingga dia dianggap netizen sebagai tidak siuman.

Masalah kesihatan mental sudah acap kali dibincangkan secara ilmiah tetapi berapa kerat yang sedar dengan isu yang sebelum ini dianggap tabu dalam industri hiburan tempatan?

Berbeza dengan industri hiburan luar negara yang berani bercakap secara terbuka dan memberi sokongan menanganinya.

Antara masalah psikologi yang sering dialami golongan selebriti ialah narsis, depresi, bipolar, mania dan kecelaruan identiti.

Bling! minggu ini menyenaraikan artis tempatan dan luar negara yang pernah dan sedang berdepan isu berkaitan masalah psikologi.

Pendedahan ringkas ini diharap dapat membuka mata semua pihak bahawa isu kesihatan mental perlu ditangani secara terbuka dan berhemah supaya industri hiburan tempatan lebih sihat dan selamat.

1. Kurt Cobain

Penyanyi band Nirvana ini diketahui menghidap masalah psikologi serius iaitu depresi. Lebih buruk, ia disusuli dengan pengambilan dadah dan ketagihan alkohol.

Kesan kepada situasi itu dan ditambah dengan episod depresi yang dilalui sejak remaja, Cobain pernah cuba membunuh diri sebelum dibawa ke hospital kerana pengambilan dadah dan alkohol berlebihan.

Dia sekali lagi cuba membunuh diri menggunakan senapang dan pil tidur dengan mengurung diri di dalam sebuah bilik. Percubaan itu gagal selepas isterinya, Cortney Love mendapatkan bantuan polis.

Bagaimanapun, pada 8 April 1994 Cobain yang ketika itu berusia 27 tahun ditemui mati di rumahnya di Seattle, Amerika Syarikat kerana pengambilan dadah berlebihan dan cedera parah di kepala akibat menembak diri sendiri menggunakan senapang patah.

2. Robin Williams

Siapa sangka, Robin Williams yang sering menceriakan penonton melalui lakonan dan lawak jenaka berdepan masalah psikologi kronik.

Pemenang Oscar itu disahkan menghidap depresi dan paranoia serta terpaksa bergantung kepada pelbagai jenis ubat antaranya pil antidepresi dan ubat untuk penyakit Parkinson, penyakit yang dihidapi tanpa diketahui peminat sebelum ini.

Pelakon dikenali melalui filem hebat seperti Good Will Hunting, Jumanji, Patch Adam, Mrs Doubtfire dan Peter Pan itu ditemui mati di bilik anak tirinya dengan menggantung diri pada 11 Ogos 2014 pada usia 63 tahun.


3. Sir Elton John

Pemuzik legenda ini mendedahkan bertarung dengan masalah bulimia dan penyalahgunaan bahan terlarang dalam program Larry King Live pada 2002.

Bulimia adalah sejenis masalah cara pemakanan apabila pesakit akan memuntahkan semula makanan yang dimakan dengan kuantiti banyak kerana takut gemuk.

John berkata, dia mengalami masalah itu sejak beberapa beberapa tahun lalu dan mendakwa ia perkara terbaik pernah dilakukan.

Namun, dia akui perlu bantuan kerana situasi itu semakin menjejaskan kesihatannya.


4. Catherine Zeta Jones

Pelakon jelita ini mengakui berdepan masalah bipolar disorder tahap 2.

Disebabkan itu dia berdepan pelbagai masalah pengurusan diri dan menganggu perjalanan kerjayanya.

Dia mendedahkan perkara itu kerana mahu membuang stigma masyarakat terhadap keadaan dialami pesakit psikologi sepertinya.

Pelakon filem The Mask of Zorro itu cuba mendapatkan rawatan di sebuah hospital tetapi dipandang pelik orang sekeliling.

Bipolar disorder adalah penyakit psikologi yang menyebabkan penghidapnya berdepan kecelaruan watak, perubahan ‘mood’ yang tidak terkawal dan jika mencapai tahap mania, ia boleh menyebabkan pesakit membunuh diri kerana tekanan perasaan melampau.


5. Demi Lovato

Penyanyi dan pelakon ini dikenal pasti mempunyai masalah bipolar disorder selepas menjalani rawatan menangani depresi, pemakanan dan percubaan mencederakan diri pada 2010.

Dalam satu temu ramah pada 2011, Lovato mendedahkan tidak mengetahui perkara itu sehinggalah menjalani rawatan.

Katanya, dia pernah bertarung melawan depresi ketika kanak-kanak.

“Disebabkan tidak berkongsi keperluan ketika itu, saya melakukan cara sendiri dan akhirnya menyebabkan saya bertindak dengan cara tidak sihat,” katanya.

Selepas menjalani terapi dan rawatan berkaitan, Lovato akhirnya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan bahagia.


6. Emma Stone

Pelakon filem terbaru Battle of the Sexes ini mendedahkan pada usia tujuh tahun, dia pernah percaya rumahnya sedang terbakar.

“Ia bukan halusinasi, cuma dada rasa sesak dan tidak boleh bernafas seolah-olah dunia bakal berakhir. Ada ketika saya tidak mahu ke rumah rakan dan sukar melangkah kaki ke sekolah,” katanya mengalami masalah anxiety (gangguan kebimbangan).

Katanya, selepas mendapat rawatan terapi dan melangkah masuk ke dunia lakonan, masalah itu dapat dikurangkan.

Dia mula berlakon melalui teater remaja, melakukan teknik improvisasi dan komedi pentas.

“Anda kena berada ‘di situ ketika itu’ ketika melakukan improvisasi dan ia adalah antitesis kepada kebimbangan,” katanya.


7. Lady Gaga

Ketika melawat pusat kebajikan untuk golongan gelandangan di New York, bintang pop ini mendedahkan rahsia yang sekian lama dipendam.

“Saya beritahu mereka, saya menderita PTSD (Gangguan Stres Pascatrauma). Saya tidak pernah memberitahu sesiapa sebelum ini,” katanya.

Kebaikan dan nilai murni ditunjukkan doktor, keluarga dan rakan menyelamatkannya daripada terus menderita.

Dia akui trauma dilalui banyak membantu untuk menolong insan lain yang berdepan dengan masalah serupa dan sekali gus menjadikan dia lebih baik dan tenang.


8. Azma Aizal Yusoof

Pelakon dan pengarah berusia 36 tahun ini mendedahkan mula menghidap bipolar disorder pada 2009.

Pada masa sama, dia turut didakwa menjalani kehidupan tidak sihat seperti pengambilan bahan terlarang dan ketagihan alkohol.

Dia juga pernah dilaporkan ditahan selama lapan hari di wad psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun yang sama.

Selepas dibawa keluar ibunya dari wad itu, dia kemudian diuji ketagihan dadah dan alkohol sehingga dimasukkan pula ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) selama dua minggu.

9. Yasin Sulaiman

Penyanyi berusia 43 tahun yang mula popular dengan kumpulan Brothers ini pernah berkongsi keadaannya sebagai penghidap bipolar disorder.

Pada 2009, Yasin pernah menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dia juga pernah dilaporkan menghadapi krisis identiti ketika mula-mula bergerak secara solo dalam kerjaya nyanyian.

Selepas mendapatkan rawatan dari semasa ke semasa, penyakit yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami perubahan sikap dan identiti secara tiba-tiba itu hampir pulih sepenuhnya.

Dalam laporan di Harian Metro pada 14 Jun 2015, Yasin bersyukur mempunyai keluarga yang memahami masalah dihadapi dan rakan Brothers yang banyak menyokong selama proses pemulihan.


10. Shah Iskandar

Pelakon dan pengacara berasal dari Singapura ini pernah mendedahkan mempunyai sejenis penyakit psikologi dikenali sebagai Obsessive Compulsive Disorder (OCD).

“Saya tidak cuba tangani langsung sebab OCD dialami bukan tahap kronik. Ia hanya teruk apabila berada dalam keadaan tertekan.

“Namun, ia sebenarnya membantu seimbangkan hubungan sebagai suami dan menjadikan saya pelakon yang lebih baik,” katanya.

Dia disahkan mengidap OCD ketika masih menuntut di Politeknik Ngee Ann, Singapura pada 2002.
Isu kesihatan mental artis Isu kesihatan mental artis  Reviewed by Kakigosip on 06:11:00 Rating: 5
Powered by Blogger.