Istana Budaya senarai hitam lebih 20 produksi bermasalah


BAGI memastikan kelancaran program yang bakal berlangsung mengikut jadual yang diatur, Istana Budaya (IB) bertindak menyenarai hitam lebih 20 produksi yang pernah menimbulkan masalah sebelum ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk  Mohamed Juhari Shaarani berkata, tindakan itu adalah wajar bagi memastikan kesalahan yang sama tidak berulang dan mendatangkan masalah kepada IB.

“Sebelum ini masalah yang sama berlaku apabila beberapa produksi telah menarik diri pada saat akhir dari menjayakan persembahan yang telah dipersetujui, bayaran sewa yang gagal dijelaskan selepas membuat persembahan, selain menimbulkan kontroversi yang tidak sepatutnya.

“Masalah ini telah berlaku dalam tempoh lama di mana ada di antara syarikat produksi terbabit yang belum menjelaskan hutang biarpun persembahan tersebut telah berlangsung 10 tahun lalu.

“Jadi atas nasihat bahagian undang-undang Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, tindakan tegas ini terpaksa diambil untuk memberi pengajaran kepada mereka yang terbabit,” katanya yang ditemui di Majlis Pelancaran Program IB 2018 pada Selasa.

Susulan itu, proses pemilihan program yang bakal berlangsung di IB pada tahun ini diperketatkan dengan mengenal pasti produksi-produksi yang mampu memberikan komitmen terbaik dalam kerja mereka.

“Tidak dinafikan untuk tahun 2018 ini, kita ada menampilkan beberapa produksi yang sama pernah bekerjasama dengan IB sebelum ini kerana yakin dengan rekod cemerlang yang ditunjukkan mereka.

“Apatah lagi mereka datang dengan proposal yang sangat bagus dan diyakini mampu memberikan impak kepada IB dalam masa yang sama.

“Begitu juga dengan produksi-produksi baru yang perlu memenuhi standard yang telah ditetapkan IB dalam usaha untuk memastikan persembahan yang dilakukan berlangsung dengan jayanya,” tegasnya.

Majlis Pelancaran Program IB 2018 telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Pelancaran ini menandakan pembukaan semula Panggung Sari yang telah ditutup selama lapan bulan bermula Mei tahun lalu untuk memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf IB membabitkan sistem elektrik, audio, pentas, ruang penonton.

Kalendar 2018 bakal menyaksikan 20 program yang akan dilangsungkan di Panggung Sari yag merangkumi persembahan teater, muzik dan tarian.

Menariknya,  Ola Bola The Musical yang menjadi persembahan pembuka tirai Panggung Sari telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi naskhah yang paling lama dipentaskan dalam sejarah IB iaitu selama 29 hari bermula 8 Februari hingga 13 Mac.

Antara persembahan lain ialah KRU 25 – The Musical by KRU, Primadona, Baik Punya Cilok, Tanah Akhirku, Consert  25th NSO Anniversary, Doa Buat Kekasih – 30th Anniversary Tour dan lain-lain.

Tidak ketinggalan program antarabangsa yang turut mengisi slot seperti Mystic India, The World Tour dan Mummendchanz.
Istana Budaya senarai hitam lebih 20 produksi bermasalah Istana Budaya senarai hitam lebih 20 produksi bermasalah Reviewed by Kakigosip on 05:40:00 Rating: 5
Powered by Blogger.