Intan ambil semangat Remy

Bintang baru, Intan Najuwa mengakui teruja diberi peluang bergandingan dengan aktor tersohor Remy Ishak.

Intan yang kini membintangi drama Kekasih Paksa Rela dengan hero Malaya itu menerusi slot Akasia di TV3 tidak sangka peluang datang secepat ini.

Dia bagaimanapun mengakui kekok bergandingan dengan Remy yang memegang watak sebagai Adham.

“Sebelum ini saya pernah bergandingan dengan Remy dalam sebuah drama tetapi kami berlakon sebagai adik-beradik sahaja.

“Bagaimanapun, ketika diberitahu hero adalah Remy, saya rasa gemuruh. Apatah lagi ada banyak babak yang memerlukan kami bersama dan beraksi romantik.

“Namun, syukur Remy sangat sabar dan banyak membantu saya mencari keserasian. Dia banyak mengajar saya di lokasi selain pengarah dan pelakon senior lain,” katanya.

Sambung Intan, dia sangat mengagumi komitmen dan bakat Remy.

“Dia sangat fokus dan komited ketika bekerja. Dia akan lakukan apa saja bagi memastikan babak yang dilakonkan sampai ke jiwa penonton.

“Saya ambil semangatnya dan tak menyangka disatukan dengan bintang hebat yang menjadi kegilaan ramai itu,” katanya.

Selain sarat bermain dengan emosi, Intan memaklumkan drama itu memerlukan dia banyak menangis.

“Diharap penonton menyukai lakonan saya. Walaupun masih ‘hijau’ saya sudah berikan yang terbaik,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai drama terbitan Creative Skill Solution Sdn Bhd itu yang menjadi trending hampir setiap hari ketika bersiaran, Intan terharu dengan komen positif penonton.

“Syukur drama ini diterima baik dan ia secara tidak langsung memperkenalkan saya dalam industri seni,” katanya.
Intan ambil semangat Remy Intan ambil semangat Remy  Reviewed by Kakigosip on 10:37:00 Rating: 5
Powered by Blogger.