Impikan konsert mini solo

Setiap penyanyi tentunya ada matlamat tersendiri dalam meletakkan standard kerjaya seni mereka. Bagi Syamel, matlamatnya adalah mengadakan konsert mini solo.

“Kalau ditanya mengenai perancangan atau apa yang saya ingin lakukan pada 2018, jawapannya adalah konsert mini di Kuala Lumpur dan Singapura.

“Kini saya dalam usaha merealisasikan hasrat itu. Insya-Allah, kalau semuanya berjalan lancar, ia akan berlangsung pada pertengahan atau penghujung tahun ini,” katanya.

Menurut Syamel yang popular menerusi lagu Hidup Dalam Mati, selain memenuhi permintaan peminat, konsert mini itu penanda aras dalam kanvas seninya.

“Sepanjang tempoh berkarya, belum pernah saya mengadakan konsert mini. Sudah sampai masanya untuk saya beraksi.

“Lagipun, setiap tahun peminat bertanya bilakah saya akan mengadakan persembahan seperti ini.

“Jadi, selain untuk pencapaian diri sendiri, ini adalah hadiah untuk peminat juga,” katanya.

Bercerita mengenai berat badannya yang semakin susut, Syamel mengakui mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya turunkan berat badan atas beberapa sebab. Satu daripadanya untuk memastikan lebih bertenaga ketika menjayakan persembahan. Kemudian, keyakinan diri juga akan lebih tinggi.

“Selain itu, apabila badan semakin susut, penampilan di kaca TV pun nampak lebih menarik di samping mudah mencari pakaian yang sesuai,” katanya.

Ditanya mengenai rutinnya, Syamel aktif bersukan.

“Tiga kali dalam seminggu, saya akan luangkan masa untuk bermain futsal bersama teman. Selain itu, saya juga menjaga pemakanan,” katanya.

Sebelum ini, berat badannya mencecah 95 kilogram dan kini 80 kilogram.

“Sebenarnya, sejak di AF Megastar lagi saya sudah bekerja keras untuk turunkan berat. Insya-Allah, sasaran saya adalah 75 kilogram,” katanya.

Bercerita mengenai 2018, Syamel berharap dapat menghasilkan lagu tema filem.

“Sebelum ini, ada lagu saya yang digunakan dalam drama dan sebagainya tetapi belum pernah jadi OST filem. Harap tahun ini ada peluang,” katanya.

Terbaru, Syamel menampilkan single solo ketiganya, Biar Cinta.

“Biar Cinta adalah karya ciptaan saya sepenuhnya. Video liriknya baru saja dilancarkan di YouTube kurang sebulan lalu.

“Selain itu, saya juga sedang mempersiapkan diri untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu 32 yang akan berlangsung pada 11 Februari ini,” katanya.
Impikan konsert mini solo Impikan konsert mini solo  Reviewed by Kakigosip on 18:51:00 Rating: 5
Powered by Blogger.