Hina Najib, ini iktibar dipelajari Najip Ali


Susulan insiden menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu, pengacara terkenal Najip Ali mengakui telah mempelajari beberapa iktibar.

Selebriti asal Singapura itu dalam wawancara dengan Berita Mediacorp berkata, dia berada dalam satu situasi genting apabila bukan saja dirinya dikutuk, malah keluarganya turut terkena tempias.

"Tak ramai orang yang dapat berada dalam situasi yang genting seperti ini liputan dalam berita, orang mengutuk, mak bapak dikutuk, kawan jadi lawan - ia suatu yang sukar.


"Bayangkan jika anda berada dalam posisi saya. Tapi soalan yang sangat penting untuk ditanya adalah apa yang telah saya pelajari dari pengalaman ini," katanya.

Pengacara Asia Bagus itu berkata, iktibar pertama dipelajarinya adalah menjauhi dirinya dari mereka yang penuh beremosi.

"Apabila seseorang itu beremosi, tidak jelas sama ada mereka sedang cuba membantu saya atau meluahkan perasaan yang terpendam. Jauhi atau hindarilah diri daripada mereka yang berperasaan tinggi," katanya.

Iktibar kedua, kata Najip, ialah perlu mengelilingi mereka yang lebih bijak dan berpengalaman dalam menangani krisis sedemikian.

"Kelilingi diri anda dengan orang-orang yang lebih bijak daripada anda. Bagi saya, seperti peguam, pakar pegawai perhubungan awam dan wartawan, yang lebih bijak dan pandai daripada anda," katanya.

Katanya, sepanjang kemelut itu juga dia mengelakkan membaca komen-komen negatif.

"Dalam dunia digital, jangan membaca perkara negatif tentang diri anda. Jangan sekali-kali, kerana anda tidak boleh membuat keputusan wajar dan jelas apabila apa yang anda baca itu adalah negatif," tegas Najip.

Manakala, iktibar terakhir katanya ialah kembali kepada prinsip dan nawaitu dia melibatkan diri dalam persada seni.

"Saya berada di sini bukan sebab glamor. Saya lakukan ini kerana saya mempunyai minat yang mendalam. Saya bersyukur dapat melakukan apa yang saya lakukan ini. Ini semua didorong oleh nawaitu," kata Najip.

Tahun lalu, stesen penyiaran Mediacorp 5 milik Temasek Holdings menerusi program 'OK Chope!' dalam episod ke-26 program itu dilihat telah mempersendakan dan menghina Najib.

Dalam rancangan itu, peserta diminta melengkapkan ayat: "Najib slams ... for threatening Malaysia's progress". Para peserta program itu termasuk Najip, memberikan pelbagai jawapan yang dilihat menghina dan mempersendakan perdana menteri.
Hina Najib, ini iktibar dipelajari Najip Ali Hina Najib, ini iktibar dipelajari Najip Ali Reviewed by Kakigosip on 07:35:00 Rating: 5
Powered by Blogger.