Berita Terkini
recent

Haluan tahun baru

Setiap kali tiba tahun baru, ramai individu mempunyai azam untuk memperbaiki diri sama ada dari segi kerjaya atau peribadi.

Menerusi telefilem kisah cerita rakyat Kelantan berjudul Wau Itu Bulan, RTM menonjolkan perumpamaan matlamat hidup, bagaikan wau yang berhias, bertali dan berprinsip. Begitulah kita manusia yang berhias cantik tetapi perlu beriman.

Dibintangi Jalil Hamid, Kuza, Mohd Fikri Aiman, Ku Ain dan Normah Damanhuri, telefilem arahan Malek Rahman ini menemui penonton pada 7 Januari ini, jam 10.05 pagi menerusi saluran TV1.

Bertemakan pemuliharaan seni warisan bangsa, kisahnya berkembang dengan watak Seman Kewek atau Pak Long yang garang tetapi handal menghasilkan wau. Bidin pula mahu belajar membuat wau tetapi takut mendekati Pak Long.

Kakak Bidin, Hasnah pula berkebolehan bermain Mak Yong tetapi tidak dibenar untuk memperlihatkan bakat permainannya.

Semuanya kerana ibu mereka, Kalsom yang juga peniaga dan pembuat keropok ikan mahu mereka maju dalam pelajaran dan bukan hanya tinggal nama sebagaimana arwah suaminya yang juga seorang pemain wayang kulit.

Kak Yam yang juga bekas primadona Mak Yong dan kini sebagai pengajar Mak Yong, mahu Hasnah menyertai kumpulan Mak Yong yang akan bertanding di Kuala Lumpur.

Selepas berjaya memujuk Kalsom, Kak Yam berjaya mengambil Hasnah.

Pak Long pula bimbang kerana tiada pengganti mewarisi kebolehannya membuat wau. Bagi Pak Long, dia hanya ada Husin, anak saudaranya yang tidak mahu mengikut jejak langkahnya disebabkan sikapnya yang bengis.

Hasnah kemudian membawa Bidin mendekati Pak Long. Bagaimanapun, sergahan dan teguran Pak Long membuatkan Bidin lari.

Kemudian Hasnah cadangkan Bidin pergi mengintai cara Pak Long membuat wau pada waktu malam. Bidin tekad mempelajarinya untuk berusaha bagi memiliki hadiah komputer pertandingan.

Jiwa Bidin memberontak kerana ibunya hanya membenarkan Hasnah menyertai Mak Yong, sedangkan dia tidak boleh belajar membuat wau.

Dia cuba mendapatkan wang untuk membeli kertas wau tetapi tidak diberikan ibunya. Jadi, Bidin pergi mengutip cebisan kertas wau buangan Pak Long.

Kesungguhan Bidin dapat dirasai Pak Long yang sanggup menurunkan ilmunya kepada Bidin. Pak Long mengajar Bidin, susun atur jadual hariannya, di samping membuat wau. Pak Long juga mengajar Bidin matlamat hidup.

Dengan kesungguhannya, Bidin melukis dan menyobek bunga kertas wau dengan bunga wayang kulit gubahan arwah bapanya.

Pada satu malam, ketika hendak menyiapkan waunya, Pak Long mendapati kertas wau yang Bidin potong sudah hilang. Bidin yang masih bersemangat terus membuat potongan kertas wau yang lain.

Sebenarnya Kalsom terkilan dengan sikap arwah suaminya yang meninggal dunia dengan tiada meninggalkan pusaka melainkan dua anaknya dan juga isteri muda yang hanya diketahui selepas suaminya meninggal dunia.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.