Hakim bagi amaran kepada Mukhriz

Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media membabitkan prosiding kes samannya terhadap bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung dakwaan isu pakatan sulit melibatkan dirinya dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan memberi peringatan itu berikutan  peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Tunku Abdul Aziz memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mukhriz ada membuat kenyataan kepada pihak media selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes samannya pada 11 Januari lepas.

“Saya ingin mengingatkan saksi dan mana-mana pihak yang terlibat supaya jangan membuat kenyataan media berhubung kes ini kerana kes masih berjalan,” kata hakim itu selepas Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selesai memberi  keterangan pada hari kedua perbicaraan kes saman berkenaan.

Terdahulu Mukhriz, 53, yang menyambung keterangannya  berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam Jahaberdeen  bahawa kenyataan media yang dibuat olehnya (Mukhriz)  bagi menafikan tuduhan defendan (Abd Aziz) merupakan gimik semata-mata.

Disoal Jahaberdeen mengenai kariernya sebagai anggota politik Umno yang dikatakan tidak cemerlang, Mukhriz berkata,”Ada turun naik…saya tidak rasa kerjaya politik saya dalam Umno tidak cemerlang kerana adat pertandingan ada menang ada kalah”.

Prosiding akan bersambung pada 27 Februari dan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka  memberi keterangan sebagai saksi kedua anaknya.

Pada 7 Februari 2017, Mukhriz  yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam, Kedah memfailkan saman dengan mendakwa pada 30 Disember 2016, defendan telah mengeluarkan satu kenyataan bertajuk ‘Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang’ yang dilaporkan dalam blog AIDCNews.

Beliau mendakwa, pada 1 Jan 2017, pihaknya ada membuat penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnah itu dan sekiranya gagal, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.

Bagaimanapun, pada 3 Januari 2017, defendan ada menerbitkan atau menyebabkan terbit satu lagi kenyataan media bertajuk ‘Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah’.
Hakim bagi amaran kepada Mukhriz Hakim bagi amaran kepada Mukhriz Reviewed by Kakigosip on 05:28:00 Rating: 5
Powered by Blogger.