Berita Terkini
recent

Hajat abang tidak kesampaian

Hajat seorang abang membawa dua adiknya membeli barangan persiapan sekolah tidak kesampaian selepas dua adiknya maut manakala abangnya parah dalam nahas jalan raya di Kampung Chica di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 9.15 malam itu, dua beradik  Fithri Aziz Mohd. Ramli, 13 dan Hamdan Syakirin ,11, maut di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggang abangnya, Muhamad Hakimi, 25, dilanggar sebuah kereta.

Muhamad Hakim yang merupakan seorang pelajar di Mesir mengalami kecederaan parah di kepala dan kini tidak sedarkan diri semasa dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.


Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketiga-tiga beradik yang menaiki motosikal jenis Demak itu dikatakan ingin ke kedai yang berada di seberang jalan untuk membeli barang keperluan.

"Apabila tiba di tempat kejadian iaitu di hadapan sebuah kedai cat, mereka bertiga melintas jalan secara menyonsang arus membuat pusingan U untuk ke kedai berkenaan.

Dipercayai kereta jenis Hyundai Atos yang dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun yang datang dari arah Pasir Tumboh menghala ke Kota Bharu telah melanggar motosikal tersebut.

"Akibat rempuhan itu,  Fithri Aziz dan adiknya, Hamdan Syakirin terjatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhamad Hakim tidak sedarkan diri akibat kecederaan pada bahagian kepala," katanya di sini semalam.

Beliau berkata,  dua beradik yang masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Agama Maarif dan Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan dibawa ke Unit Forensik HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.