Berita Terkini
recent

Genggam setiap peluang

Bidang seni tidak hanya sekadar terhad kepada satu bidang.

Disebabkan itulah, penyanyi Sam Nuhair yang memulakan langkah menerusi program Akademi Fantasia 2014 (AF2014) kini turut melangkah setapak lagi sebagai pelakon.

“Sementara usia masih muda, ini masa terbaik untuk saya genggam setiap peluang yang ada. Alhamdulillah, tawaran berlakon ini adalah satu lagi rezeki buat saya,” katanya.

Akan memulakan penggambaran drama bersiri Geng Tadarus yang turut membariskan beberapa pelakon seperti Ieda Moin, Chacha Maembong dan Reen Rahim, Sam nyata teruja.

“Sudah lama saya menantikan peluang berlakon dalam drama bersiri sebegini. Sebelum ini, saya pernah berlakon, tapi telefilem sempena Aidilfitri berjudul Ketupat Jantung Hati bersama rakan AF2014 yang lain.

“Berbeza untuk drama kali ini apabila wataknya lebih berat dan serius. Ia menjadi cabaran baru buat saya yang baru belajar,” katanya.

Bercerita mengenai watak dalam drama itu, Sam berkata, dia diberi peluang memegang peranan sebagai Wan Normi.

“Wan Normi wanita yang berkerjaya sebagai pereka hiasan dalaman. Dalam sibuk bekerja, dia juga membesarkan anak kurang upaya.

“Ia benar-benar mencabar kemampuan saya memandangkan tidak ada pengalaman sebagai ibu lebih-lebih lagi memiliki anak kurang upaya,” katanya.

Impiannya untuk menyertai kelas lakonan di bawah kelolaan pelakon hebat, Ogy Ahmad Daud tidak kesampaian kerana kekangan masa, namun dia menjadikan YouTube dan Internet sebagai ‘guru’.

“Saya pernah merancang menyertai kelas lakonan di bawah kelolaan Kak Ogy, tapi ketika kelas itu diadakan, jadual saya bertindih dengan satu acara lain.

“Sekarang, saya banyak melakukan kajian mengenai watak di YouTube dan Internet untuk mendapatkan pemahaman mengenai ibu bapa yang memiliki anak kurang upaya,” katanya.

Untuk drama Geng Tadarus yang akan ditayangkan menjelang Ramadan sebanyak 26 episod, Sam terbabit dalam sembilan babak bermula di episod keenam.

Walaupun akan mula berlakon, itu tidak bermakna kerjaya nyanyiannya diabaikan.

“Kerjaya nyanyian masih berjalan seperti biasa. Insya-Allah, saya akan bekerjasama dengan Altimet dan akan keluar dengan single baru dalam tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya dan impiannya untuk 2018, Sam punya beberapa yang dikongsikan.

“Impian utama saya adalah mengeluarkan lebih banyak lagu baru dalam tahun ini. Banyak rancangan yang tak dapat direalisasikan pada 2017, jadi saya akan cuba selesaikan dalam tahun ini.

“Selain itu, insya-Allah, suara saya juga akan menjadi pengisi untuk lagu tema program Nona yang disiarkan di TV3 bermula tahun ini,” katanya.

Sam mengharapkan 2018 berjalan lancar dan dia dapat seimbangkan antara kerjaya nyanyian dan lakonan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.