Berita Terkini
recent

Gabung kepelbagaian naratif

Sebagai pembuka tirai 2018, Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan tampil dengan empat teater menggabungkan kepelbagaian naratif berlatarbelakangkan Barat dan Timur dalam satu penilaian yang dipanggil Penilaian Tahun Akhir PeTA 2018.

Empat pelajar program Ijazah Sarjana Muda Teater Lakonan dan Pengarahan yang dinilai ialah Sri Idrina Idris Silva (pengkhususan lakonan), Lim Mei Fen (pengkhususan lakonan), Siti Fatimah Zahari (pengkhususan lakonan) dan Nelfa Sugesti (pengkhususan pengarahan).

Keempat-empat pelajar tahun tiga semester satu ini memilih naskhah Barat dan naskhah baru daripada penulis terkenal iaitu Trem Bernama Desire karya Tennessee William, The Lover (Harold Pinter), Tanah Akhirku (Xavier Fong) dan Pygmalion (George Bernard Show).

Trem Bernama Desire arahan Iefiz Alaudin menampilkan Sri Idrina akan dipentaskan pada 22 Januari, The Lover arahan Shahrul Mizad Ashari menampilkan Fatimah Zahari (23 Januari), Tanah Akhirku arahan Ashraf Zainul menampilkan Lim Mei Fen (24 Januari) dan Pygmalion arahan Nelfa pada 25 Januari.

Menariknya, pelbagai kisah dilema wanita ditampilkan dalam empat naskhah ini apabila Trem Bernama Desire berkisarkan kehidupan wanita yang menghadapi dilema hidup akibat dibelenggu memori lalu manakala The Lover pula memperlihatkan dilema wanita yang menginginkan sesuatu kelainan dalam hubungan perkahwinan.

Tanah Akhirku mengutarakan perjuangan wanita berketurunan Cina berhadapan konflik percintaan ketika penghijrahan mereka di Tanah Melayu dan akhir sekali Pygmalion pula mengupas isu status serta darjat wanita dalam masyarakat.

Shahrul Mizad berkata, The Lover memerlukan kematangan permainan lakon kerana kehidupan watak jelas ada di dunia nyata.

“Ia kisah hubungan suami isteri yang suram kerana masalah komunikasi. Ikatan cinta yang lama perlu ‘disegarkan’.

“Mereka ada keinginan yang terpendam sehingga mengabaikan sesama sendiri. Hanya, kesetiaan yang mampu mengikat cinta,” katanya.

Sementara itu, Iefiz pula mengakui Trem Bernama Desire adalah karya yang sering dipentaskan hingga ke hari ini kerana tema dan persoalannya yang relevan bukan saja di luar negara, malah di negara kita juga.

“Ia mengisahkan mengenai Blance Dubois yang cuba mengubah kehidupannya tapi sering berhadapan dugaan.

Blanche membawa simbol dan ciri kewanitaan yang dinamik. Watak Blanche cukup sinonim dengan wanita yang ada kekerasan dalam kelembutan, ada sayang dalam tegas dan nasihat dalam bebelan,” katanya.

Menurutnya, Blanche cuba mengubah persepsi klise masyarakat terhadap wanita dengan gaya dan tutur katanya yang santun tetapi kerana pengalamannya bersama lelaki menyebabkan dia lemah langsung terjerumus di dalam dunia gelapnya.

Pementasan keempat-empat teater ini akan berlangsung di Black Box dan Panggung Eksperimen ASWARA pada jam 8.30 malam.

Tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kerana ASWARA mahu masyarakat merasai pengalaman menonton teater terbitan mereka.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.