Flat paling kotor!

Jijik dan meloyakan. Itu yang boleh digambarkan mengenai keadaan tingkat bawah blok E2 Flat Teluk Indah Perai, di sini yang dipenuhi dengan sampah di seluruh kawasan koridor perumahan itu.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, terdapat pelbagai jenis sampah yang dibuang penduduk flat 21 tingkat itu dipercayai dari tingkat atas seperti sisa makanan, lampin pakai buang, perabot lama dan banyak lagi.

Flat berkenaan yang pernah mendapat jolokan flat paling kotor di Pulau Pinang pada tahun lalu dilihat masih lagi sama keadaannya.

Penduduk, M Jayathri, 41, berkata, keadaan kotor dan menjijikkan itu sudah berlarutan sekian lama dan masih tidak tidak dapat diubah berikutan sikap penduduk yang mementingkan diri sendiri dan mengambil jalan mudah untuk membuang sampah.

Jayathri yang tinggal di kawasan flat berkenaan sejak 10 tahun lalu berkata, sudah banyak usaha yang dilakukan beberapa penduduk di kawasan perumahan berkenaan bagi membersihkan kawasan flat mereka, namun ia hanya akan bertahan beberapa jam sahaja sebelum keadaan kembali kotor.

"Saya tak tahu nak kata apa. Sikap penduduk dekat sini langsung tak pentingkan aspek kebersihan.

"Mereka tak peduli kebersihan dan keselamatan orang lain dengan buang sampah sesuka hati dari tingkat atas. Lebih teruk pada waktu malam kadang-kadang penduduk dengar dentuman beberapa kali akibat sampah dibuang dari atas dan terjatuh ke koridor," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Malas buang sampah
Penduduk, Rosilah Ahmad, 44, berkata, keadaan flat yang terlalu kotor menyebabkan dia malu untuk menjemput saudara mahupun kenalan datang ke rumah.

Dia yang tinggal di flat berkenaan sejak 2000 berkata, keadaan itu bermula sejak 10 tahun lalu apabila penduduk sudah mula tidak menghiraukan aspek kebersihan termasuk perumahan berkenaan mula dihuni warga asing.

"Bukan warga asing saja yang buang sampah, orang tempatan pun malas nak turun bawah buang sampah mereka.

"Kadang-kadang ada yang buang sampah depan pintu rumah orang lain. Kalau musim durian memang penuh koridor di bawah dengan kulit durian. Langsung tak fikir keselamatan orang lain di tingkat bawah," katanya.

Malah katanya, dia pernah terkena percikan air sampah yang dibuang dari atas dan bersyukur sampah yang dibaling tidak menimpa kepalanya.

Seorang lagi penduduk, Zuraini Ismail, 43, yang tinggal di tingkat 14 berkata, dia tidak akan membenarkan anaknya bermain di bahagian bawah kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab penduduk di perumahan itu.


Keadaan Flat Teluk Indah, Perai yang kotor disebabkan sikap penduduknya sendiri.
"Tak tahu sampai bila penduduk dekat sini nak sedar dan berubah. Nak tunggu kejadian sama yang menimpa remaja di Kuala Lumpur yang maut ditimpa kerusi baru nak insaf agaknya.

"Kami dah tak tahu ke mana lagi kami nak adu masalah ini yang dah berlarutan sejak sekian lama tanpa ada sebarang tindakan," katanya.

Kereta remuk, pecah
Penduduk, Awang Mohd Latif, 51, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila keretanya pecah selepas dibaling batu dari tingkat atas flat berkenaan.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana ketika kejadian dia tidak berada di dalam kereta dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan jiran yang tinggal di tingkat bawah.

"Saya pun tak tahu siapa yang buat. Mungkin kanak-kanak atau orang dewasa.

"Ini semua masalah sikap. Susah bila ada penduduk yang pentingkan diri sendiri dan langsung tak mahu jaga kebersihan sedangkan bukan tak ada tong sampah disediakan," katanya.

Ditimpa pintu tandas
Sementara itu, turut berkongsi pengalaman ngeri, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Persekutuan Kampung Teluk, Azizan Hashim yang pernah menerima lebih 10 jahitan di kepala selepas ditimpa ‘sampah dari langit’.

Azizan berkata, ketika kejadian dia mahu ke surau berhampiran namun ketika melalui kawasan bawah flat, satu objek yang dipercayai serpihan pintu tandas tiba-tiba hinggap di kepalanya.


“Saya dah trauma dengan kejadian ini dan berharap tiada lagi mangsa lain selepas ini.

“Memang terlalu banyak masalah di kawasan ini, bukan sahaja masalah kebersihan malah kecurian, masalah lif dan banyak lagi membuatkan ramai yang tidak senang duduk duduk di kawasan ini," katanya.

Malah katanya, kawasan itu pernah diklasifikasikan sebagai zon merah apabila 16 penduduk di situ terkena wabak denggi.

"Saya harap isu yang berlarutan sejak sekian lama ini dapat perhatian lebih serius oleh kerajaan negeri dan pusat bekerjasama untuk melakukan perubahan di sini dengan segera," katanya.
Flat paling kotor! Flat paling kotor! Reviewed by Kakigosip on 04:57:00 Rating: 5
Powered by Blogger.