Fad Bocey tangguh hasrat bergelar penyanyi

SELEPAS rakan sekumpulannya, Achey mula berjinak-jinak dengan dunia nyanyian dan tampil dengan sebuah single, Fad Bocey mengakui sering diminta peminatnya melakukan perkara sama.

Begitu juga beberapa komposer yang mengenalinya, turut menawarkan diri menulis lagu sekiranya Fad berminat untuk mencuba.

“Saya memang ada cita-cita nak menyanyi dan mempunyai lagu sendiri, tapi mungkin bukan buat masa ini kerana saya  kini merupakan penyampai di sebuah stesen radio.

“Kalau saya menyanyi dan keluarkan single ketika ini, tentunya ia tidak dapat diputarkan secara menyeluruh di stesen radio lain sebagaimana lazim penyanyi-penyanyi lain kerana komitmen saya sebagai penyampai.

“Jadi adalah lebih baik saya fokus sahaja dengan apa yang saya sedang lakukan sekarang dan semestinya saya mempunyai perancangan sendiri dalam kerjaya pada masa akan datang,” ujar Fad yang merupakan penyampai Era FM lebih setahun yang lalu.

Menurut Fad, selepas bergelar bapa kepada tiga anak, dia juga perlu bijak merancang jadual kerjanya agar mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga.

Bapa kepada kembar Favian Adrazin Hayyan, Favian Adrazin Zayyan, 3, dan Nur Aminah Mishall ini sebolehnya tidak mahu mengambil sebarang tawaran kerja pada hujung minggu.

 Biarpun pada mulanya sukar untuk dilakukan kerana kebanyakan tawaran menarik datang pada hujung minggu, Fad tidak ralat apabila memikirkan tentang tanggungjawabnya kepada keluarga.

“Kalau kerja tersebut tidak mengambil masa yang lama dan berlangsung di sekitar KL, mungkin saya boleh pertimbangkan dan begitulah sebaliknya,” jelasnya.

Naib juara Super Spontan Superstar 2017 ini menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada rakan sekumpulannya, Achey dan Abam yang memahami keutamaannya kini kepada keluarga.

Dalam pada itu, Fad tidak lama lagi bakal muncul mengacarakan program Gegar Lawak bersama Kamal Adli yang bakal bersiaran mulai 19 Januari ini di saluran Astro Warna.

“Saya teruja bekerjasama dengan Kamal kerana percaya gandingan kami mampu beri kelainan untuk program ini,” katanya.
Fad Bocey tangguh hasrat bergelar penyanyi Fad Bocey tangguh hasrat bergelar penyanyi Reviewed by Kakigosip on 04:54:00 Rating: 5
Powered by Blogger.