Erry Putra lancar single baharu selepas dua tahun

SELEPAS dua tahun tidak muncul dengan sebarang single, kini penyanyi dan pelakon Erry Putra tampil dengan single terbaharu Aku Tahu.

Menariknya, single berkenaan turut mengetengahkan adiknya, Safiq Putra sebagai rakan duet.

Mengulas mengenai lagu ciptaan Jonathan itu, Erry atau nama lengkapnya, Mohd Razlan Hamzah @ Ahmad akui, single tersebut  pengenalan terbaik bagi memperkenalkan duo Erry & Fafiq Putra.


“Kali terakhir saya keluarkan single menerusi lagu Macam Cantik Macam Comel yang turut menampilkan Shafiq.

Bagaimanapun, peranannya hanyalah sebagai penampilan khas saja. Jadi kali ini, untuk lagu baharu, kami ambil keputusan untuk berduet dan harapnya ia mendapat maklum balas yang baik daripada peminat,” katanya kepada Sinar Harian sejurus pelancaran lagu berkenaan di Vilej, Damansara baru-baru ini.

           
Turut sama meraikan majlis berkenaan ialah bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga, Yazir yang turut melancarkan single baharunya pada majlis sama.

Ditanya mengenai sejauh mana pandangannya mengenai kritikan yang bakal diterima andai Aku Tahu mendapat reaksi negatif sebilangan besar netizen, bintang berusia 39 itu bagaimanapun cuba untuk positif memandangkan dia sendiri tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

“Buatlah apa sahaja genre lagu, pasti akan ada yang suka dan sebaliknya. Jadi saya perlu positif sahaja. Mana kritikan membina akan kami ambil untuk memperbetulkan diri.

"Kalau ada negatif yang hanya mahu menjatuhkan, lebih baik kalau kita biarkan saja. Apa pun, saya terbuka terhadap apa-apa pandangan peminat sebab kalau tak ada yang komen, kita tak akan tahu mana aspek yang kurang,” kongsinya jujur.

Dalam perkembangan lain, Erry masih lagi memberi perhatian sepenuhnya terhadap lakonan meski kini sibuk dengan rangka promosi single terkininya itu.

“Saya masih lagi aktif berlakon. Terbaharu, saya baharu saja selesai menjalani penggambaran telemovie berjudul Khilafku Yang Terakhir,” akhiri pelakon Andainya Takdir ini yang turut berharap tahun 2018 memberi peluang yang lebih cerah buatnya dalam dunia nyanyian.
Erry Putra lancar single baharu selepas dua tahun Erry Putra lancar single baharu selepas dua tahun Reviewed by Kakigosip on 05:22:00 Rating: 5
Powered by Blogger.