Berita Terkini
recent

Emma jaga batas

Dia tidak akan terjebak dengan cinta di lokasi penggambaran dan tak akan terbawa-bawa emosi lakonan sehingga ke luar.

Dia juga sangat berhati-hati apabila berlakon dengan suami orang kerana tidak mahu aksi mereka nanti akan menyinggung hati isteri pelakon yang bergandingan dengannya.

Itulah yang dititikberatkan pelakon jelita, Emma Maembong, 25, dalam kerjaya lakonannya.

“Memanglah ia hanya lakonan tetapi tetap ada batasnya. Janganlah berlakon dengan sewenang-wenangnya atas alasan mengikut kehendak skrip.

“Saya mengaku takut berlakon dengan suami orang. Jika hero itu sudah berkahwin, saya akan berkenalan dan berbaik-baik dengan isterinya juga,” katanya.

Emma pernah ‘berpasangan’ dengan suami orang seperti Hisyam Hamid dalam drama Sayang Papa Saya Tak dan terbaru dengan Keith Foo menerusi Jangan Padam Rindu.

“Supaya tiada salah faham, saya turut berkawan dengan isteri mereka dan sehingga kini persahabatan dengan isteri Hisyam iaitu Rosmawati Hanafi terus akrab.

“Begitu juga dengan isteri Keith iaitu Kim Raymond, saya baik dengannya. Lakonan tetap satu lakonan dan tidak perlulah terjebak dalam perkara tak sepatutnya,” katanya.

Mengikut perancangan awal, Emma sepatutnya berpasangan dengan Kamal Adli dalam Jangan Padam Rindu namun atas salah faham yang berlaku, tempat Kamal digantikan dengan Keith.

Sebagai seorang yang profesional, Emma tidak kisah siapa yang berlakon dengannya.

“Saya hanya buat kerja saya saja. Masalah saya dengan Kamal pun sudah selesai dan kami kini berkawan semula.

“Siapa pun pelakonnya, itu adalah hak pengarah dan penerbit drama. Apa yang penting saya melakonkan setiap watak yang diberikan dengan baik,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.