Berita Terkini
recent

Eka bawa kelainan

Selepas setahun berjuang mempromosikan single pertama berjudul Mengenal Cinta, bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan, Eka Shariff tampil dengan single kedua berjudul Sepenuh Jiwa.

Lagu ciptaan Puyu dan Razif Projector Band itu berkonsepkan pop rock dan menjadi pilihan Eka dalam penghasilan lagu keduanya.

Berkongsi mengenai lagu berkenaan, Eka atau nama sebenarnya Nur Atiqah Shariffudin berkata, lagu berkenaan asalnya milik Projector Band.

“Ketika saya mendengar mereka menyanyikan lagu ini, rasa suka dan tidak sangka apabila menyatakan hasrat menggunakan lagu ini sebagai single kedua, Razif memberinya.

“Kebetulan waktu itu kami dalam proses mencari lagu untuk single kedua saya. Alhamdulillah selepas merakamkan lagu ini saya berpuas hati,” katanya.

Eka berkata, dia tidak kisah jika lagu itu menjadi pertikaian andai ada yang menyuarakan seharusnya dinyanyikan orang lain.

“Saya tidak kisah lagu itu asalnya dicipta bukan untuk saya. Apa yang penting saya suka dan pendengar juga suka,” katanya.

Cuba lari daripada genre pop, Eka berharap genre rock yang ditampilkan dalam single kedua ini menepati selera peminat.

“Saya sudah tampil dengan konsep pop. Untuk single kedua ini saya mahu tampil berlainan dan alhamdulillah muzik pop rock serasi dengan jiwa saya,” katanya.

Sepenuh Jiwa sudah dilancarkan sejak awal November lalu. Walaupun masih kurang sambutan ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Eka.

“Saya tidak akan berputus asa dan akan terus mempromosikan single ini. Saya sedar kehadiran ramai penyanyi sekarang memerlukan saya bekerja lebih keras.

“Setiap hari saya mempromosikannya di laman sosial. Saya sedar zaman sekarang platform ini saja yang banyak membantu,” katanya.

Dalam pada itu, Eka berkata, dia belum berhasrat menceburi bidang lakonan.

“Saya belum terfikir untuk beralih ke bidang lakonan. Memang pada awal selepas keluar daripada AF saya ada berlakon sikit-sikit.

“Tetapi jiwa lebih kepada nyanyian dan saya mahu fokus dalam bidang ini dulu. Insya-Allah jika rezeki dan tiba masanya mungkin saya akan cuba fokus lakonan pula,” katanya.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.