Berita Terkini
recent

Dalam setiap gambar, ada cerita: Shuhada

MEMILIH genre potret sebagai karya fotografi memerlukan Shuhada Hasim mewujudkan ‘hubungan’ selain perlu disusuli tanggapan positif yang mampu membuatkan subjek selesa.

Tambahan pula, anak jati Kuala Lumpur ini merupakan jurugambar potret yang berfokus kepada usaha memperkasakan wanita.

“Biasanya, fotografi potret berteraskan elemen manusia.

“Hubungan yang dicipta pula tak semestinya melalui kata-kata, tapi pandangan mata pun dah cukup.

“Apa yang penting, subjek perlu rasa lebih bebas dan selesa ketika gambarnya diambil,” katanya pada Sinar Harian.

Ini kerana, wanita berusia 42 tahun ini mengakui emosi yang terpamer mampu memberikan impak mendalam.

Secara tidak langsung, katanya, jurugambar potret mempunyai kebolehan untuk memerhati dan memahami seseorang.

“Bidang ini sendiri membabitkan proses pemerhatian.

“Oleh itu, jurugambar juga perlu memahami sifat semula jadi dan ekspresi manusia selain mampu merakamkan sesuatu yang berbeza.

“Untuk itu, adalah penting untuk mendapatkan waktu, emosi dan teknik yang betul dalam mengambil gambar potret selain memenuhi sesuatu kriteria yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, setiap kali mahu merakamkan potret seseorang, sebaik-baiknya ada jarak di antara jurugambar dan subjek.

“Tujuannya agar subjek lebih selesa sekali gus mempunyai ‘ruang’ untuk menjadi diri sendiri.

“Lagipun, kita mahu melihat kekuatan dan keyakinan yang datang dari dalam diri sekali gus mengubah persepsi subjek terhadap diri sendiri.

“Contohnya, seorang wanita, American African yang mempunyai masalah berat badan bahkan tak pernah anggap dirinya cantik seumur hidup, menangis apabila melihat gambar potretnya,” katanya.


Sepanjang pembabitannya itu, anak sulung daripada empat beradik ini telah menyertai pelbagai pameran fotografi sama ada secara solo mahupun berkumpulan antaranya Visual Artist, MOCAfest 2015, The Beautiful Truth (2014), The Beautiful Truth (2013), Women Behind the Lens (2013), The Real People Series (2011) dan Photos from The Heart (2010).

Bukan itu sahaja, Shuhada turut terlibat aktif dalam pendidikan fotografi menerusi pelbagai platform termasuk kolej, sekolah khas, korporat dan muzium.

Kerjaya kelas kedua?
Mengimbas kembali, Shuhada mula membabitkan diri dalam bidang fotografi, sejak 10 tahun lalu.

“Bidang fotografi menyediakan dunia menarik yang perlu diterokai. Ia merakamkan setiap detik indah yang boleh diterjemahkan menjadi visual yang menarik.

“Terasnya, saya memang sangat minat dengan bidang ini walaupun berkelulusan dalam bidang perakaunan,” katanya.

Menyifatkan setiap gambar mempunyai cerita tersendiri, lulusan Diploma Eksekutif dalam Fotografi Kreatif dan Pengimejan Digital ini turut meletakkan harapan agar setiap jurugambar peka terhadap profesion masing-masing.

Ini kerana, katanya, ada segelintir masyarakat beranggapan bidang fotografi sebagai kerjaya kelas kedua.

“Kita bukanlah mahu kerjaya ini dihargai sebaliknya mahu ia lebih diiktiraf. Lagi pula, kita bukan hanya bawa kamera ke mana-mana dan main tangkap saja gambar.

“Dalam setiap gambar, ada ceritanya, jadi fahamkan kerjaya anda dan genre yang dibawa. Bukan main tangkap semberono!,” tegasnya.

Tidak hanya itu, Shuhada juga menasihatkan agar jurugambar lebih berintegriti dalam melaksanakan pekerjaan mereka.

“Bukan hanya jurugambar, klien juga perlu bertanggungjawab selain perlu melakukan kajian dan perbincangan berkaitan genre fotografi.

“Apabila ada kefahaman, barulah gambar yang dihasilkan akan lebih bermutu,” katanya yang turut mengharapkan agar lebih ramai jurugambar wanita dapat dilahirkan.

www.kakigosip.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami

Powered by Blogger.