"Berfesyen Selagi Tidak Keterlaluan" - Wany Hasrita

Penyanyi Wany Hasrita menjelaskan penampilannya menerusi poster Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) yang dilihat berbeza daripada kebiasaan adalah atas permintaan pihak produksi.

Wany berkata, dia faham dengan konsep yang ingin diketengahkan dan atas dasar itu dia bersetuju mengubah gayanya selagi dirasakan tidak keterlaluan dan mendedahkan aurat.

"Ya, ramai yang tegur festen dan penampilan saya terutama pada poster AJL32, mereka kata penampilan saya sudah berubah... tidak macam dulu.

"Sebenarnya ia adalah permintaan produksi, saya ikutkan sahaja kerana bagi saya ia tidak keterlaluan dan masih menutup aurat.

"Lepas AJL32 selesai nanti saya akan kembali kepada Wany yang anda kenali," katanya .


Wany ditemui pada majlis sidang media AJL32 yang diadakan di Hotel JW Marriot, di sini, Khamis.

AJL32 bakal diadakan pada 11 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Penyanyi lagu Menahan Rindu itu mengulas mengenai kritikan peminat dan netizen yang kurang senang dengan penampilannya dalam beberapa foto promosi pertandingan berprestij itu.

Sementara itu, Wany berkata, dia enggan membaca komen negatif berhubung perkara itu kerana ia mampu menjatuhkan semangatnya menjelang acara besar itu tidak lama lagi.

"Saya malas nak baca komen negatif, jadi selalunya saya padam atau sekat sahaja mana-mana akaun yang komen negatif.



"Jangan risau saya hanya ikut permintaan mereka sahaja agar program itu berjalan lancar seperti yang ditetapkan," ujarnya.

Dalam pada itu, bercakap tentang persiapan AJL32, Wany yang bakal mempertaruhkan lagu Menahan Rindu itu berkata, dia sedang menjalani kelas vokal bersama penyanyi Erni Zakri.

Katanya, dia juga akan memastikan kesihatan dan staminanya tidak terjejas untuk pertandingan itu.

Lagu yang bakal berentap pada malam tersebut ialah Akhirnya Cinta nyanyian Salma, Aku Cinta (Erni & Syamel), Aku Yang Sebenar (Hazama), Amboi (Altimet), Bayang (Khai Bahar) dan Jampi (Hael Husaini).

Selain itu, Lebih Sempurna (Syamel), Menahan Rindu (Wany Hasrita), Sejati (Azmi Caliph Buskers), Separuh Mati Ku Bercinta (Dayang Nurfaizah), Tergantung Sepi (Haqiem Rusli) dan Warkah Untukmu (Ara Johari).



"Berfesyen Selagi Tidak Keterlaluan" - Wany Hasrita "Berfesyen Selagi Tidak Keterlaluan" - Wany Hasrita Reviewed by Kakigosip on 04:56:00 Rating: 5
Powered by Blogger.